Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media Korea Utara membungkam mengenai keadaan Kim

GLOBAL l Media rasmi Korea Utara pada Rabu tidak menyebut langsung tentang penampilan terbaru oleh pemimpin Kim Jong Un, sehari setelah spekulasi antarabangsa bertiup kencang bahawa dia dalam keadaan tenat selepas menjalani pembedahan kardiovaskular.

Pegawai Korea Selatan dan China serta sumber yang rapat dengan perisikan Amerika Syarikat menimbulkan keraguan terhadap laporan media Korea Selatan dan AS, sementara Rumah Putih melaporkan pihaknya sedang memantau perkara itu dengan teliti.

Presiden AS Donald Trump, yang pernah mengadakan pertemuan empat mata sebelum ini dengan Kim pada 2018 dan 2019 dalam usaha untuk meyakinkannya untuk melupuskan senjata nuklear, berkata, laporan itu belum disahkan dan dia tidak menaruh kepercayaan besar.

"Saya hanya harap dia baik-baik saja," kata Trump pada sidang akhbar di Rumah Putih pada Selasa.

"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Kim Jong Un. Dan saya ingin melihatnya sihat. Kita akan melihat keadaannya. Kita tidak tahu apakah laporan itu benar."

Ketika ditanya apakah beliau akan berusaha menghubungi Kim untuk memeriksa keadaannya, Trump berkata: "Saya mungkin, tapi saya harap dia baik-baik saja."

Spekulasi mengenai kesihatan Kim pertama kali timbul apabila beliau gagal hadir pada hari ulang tahun kelahiran pengasas Korea Utara yang juga adalah datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April.

Pada Rabu lalu, KCNA memaparkan beberapa tajuk utama, termasuk tentang peralatan sukan, pemungutan mulberi, dan mesyuarat di Bangladesh untuk mempelajari "juche" atau ideologi kemandirian Korea Utara. Surat kabar rasmi Rodong Sinmun memuatkan artikel mengenai ekonomi mandiri dan langkah-langkah menangani wabak koronavirus.

Semuanya langsung tidak menyebut tentang keberadaan Kim.

Daily NK, sebuah laman web yang berpusat di Seoul, melaporkan pada Isnin lalu bahawa Kim, yang dipercayai berusia sekitar 36 tahun, dimasukkan ke hospital pada 12 April, beberapa jam sebelum pembedahan berkaitan kardiovaskular.

Adalah dilaporkan keadaan kesihatannya merosot sejak Ogos akibat merokok, kegemukan dan terlalu banyak kerja.

Memetik sumber Korea Utara yang tidak disebutkan namanya, ia melaporkan Kim sedang mendapatkan rawatan di sebuah vila di resort Gunung Myohyang di utara ibu kota Pyongyang.

Pada Selasa, CNN memetik seorang pegawai AS tanpa menyebut namanya yang berkata bahawa Washington sedang "memantau perisikan" bahawa Kim dalam bahaya besar selepas menjalani pembedahan.

- Reuters

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS