Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Kedah perjelas kisah keluarga dikongsi Ebit Liew

Kerajaan Kedah hari ini memberi penjelasan berhubung isu sebuah keluarga tinggal dalam rumah usang dan kotor di Lorong Gedebang, Mukim Derga di Alor Setar yang kisahnya dikongsikan pendakwah bebas Ebit Lew di laman Facebooknya sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Tan Kok Yew berkata keluarga itu sebelum ini telah ditawarkan berpindah ke dua rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Mergong namun ditolak atas alasan tertentu.

"Pada awal tahun ini, keluarga tersebut sudah bersetuju untuk berpindah namun mereka berubah fikiran pada saat akhir dan enggan berpindah pula sehinggalah Ustaz Ebit Lew berjaya memujuk mereka berpindah semalam.

"Mereka ini memang sudah mendapat bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak sekian lama dan kebajikan mereka terjaga, termasuk dibantu pihak masjid berdekatan," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Semalam, Ebit Lew yang berkunjung ke rumah keluarga itu berkongsi catatan di Facebook mengenai keluarga tersebut selain memuat naik beberapa keping gambar memperlihatkan keadaan rumah yang usang dan kotor selain seorang lelaki warga emas sedang terlantar.

Perkongsian di laman media sosial itu menarik perhatian netizen dan ada yang mempersoal peranan pihak berwajib seperti kerajaan negeri, JKM dan LZNK selain masyarakat sekeliling dalam membantu keluarga tersebut.

Dah 12 tahun pujuk

Tan berkata beliau sendiri ada berjumpa dengan Ebit Lew semalam dan membincangkan isu keluarga itu serta menerangkan kepada pendakwah tersebut tentang beberapa perkara yang perlu diperhalusi bagi membantu mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata keluarga tersebut menerima bantuan zakat sejak 2007 dan pelbagai bantuan lain seperti Bantuan Makanan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Kewangan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Hari Raya Aidilfitri, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Tahunan Sekali Gus serta Bantuan Jaya Diri.

Syeikh Zakaria berkata LZNK juga sebelum ini telah menawarkan warga emas itu sebuah rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Pokok Sena namun dia sekeluarga menolak tawaran tersebut dengan pelbagai alasan.

"Kita sudah memujuk beliau sekeluarga untuk berpindah ke rumah baharu sejak 12 tahun lalu," katanya sambil menambah bahawa Masjid Al-Irfan Derga, pengurusan kampung dan jiran di Kampung Derga turut membantu keluarga itu, termasuk memberikan sumbangan kepada mereka.

Beliau berkata warga emas itu mendiami rumah tersebut bersama isterinya serta lapan anak dan 10 cucu.

"Warga emas itu mempunyai tiga anak lelaki dan tujuh anak perempuan yang berumur 17 hingga 33 tahun. Ada antara anaknya yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Lapan daripada 10 anaknya kini tinggal bersama-sama dengannya di rumah tersebut," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS