story images
story images

Kesal dengan kesukaran yang dihadapi petugas barisan hadapan, kerajaan hari ini digesa agar mengurangkan karenah birokrasi bagi memudahkan petugas barisan hadapan mendapatkan elaun khas mereka.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata masalah yang dihadapi petugas barisan hadapan itu bukan sahaja menyusahkan sebaliknya boleh melemahkan semangat juang mereka.

"Saya ada terbaca laporan yang menyatakan barisan hadapan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan elaun khas yang diberikan kerajaan, yang mana mereka terpaksa mengisi banyak borang. Lima hingga enam muka surat kalau saya tak silap.

"Semua petugas barisan hadapan telah berhabis-habisan melawan wabak Covid-19 dan menyerahkan sepenuh jiwa raga dan masanya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara, tiba-tiba bila mereka mahu mendapatkan elaun khas mereka, mereka terpaksa menghabiskan banyak masa hanya untuk mengisi borang-borang," katanya kepada Malaysiakini.

Lee berkata demikian mengulas ketidakpuasan hati beberapa petugas barisan hadapan di media sosial apabila menyifatkan elaun khas yang disediakan kerajaan kepada mereka hanya 'indah khabar dari rupa'.

Mengulas lanjut, Lee menggesa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (gambar, atas) memandang seius permasalahan ini.

"Harap menteri (kesihatan) ambil sedikit masa memikirkan cara bagaimana untuk memudahkan permohonan mereka supaya prosudernya tidak terlalu menyusahkan.

"Kalau diikutkan kalau semua dipusatkan, beri kuasa yang lebih kepada pemusatan untuk lebih mudah.

"Harapnya menteri akan meneliti untuk memudahkan beban kerja barisan hadapan di sebalik semua birokrasi," katanya lagi.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lalu mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan membendung wabak Covid-19.

Elaun itu juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga pendemik Covid-19 berakhir.

'Sembang bukan main'

Bagaimanapun, pengumuman itu disambut dingin oleh petugas barisan hadapan yang bercakap kepada Malaysiakini.

Menurut beberapa petugas barisan hadapan ketika dihubungi, kerajaan membeza-bezakan petugas kesihatan sehingga ada yang tidak menerima elaun khas meskipun cuti mereka dibeku dan dipanggil balik bertugas.

"Di kaca televisyen sembang bukan main (isu elaun khas) dan sememangnya menjadi suatu persoalan serius dikalangan kakitangan KKM tentang isu ini.

"Kononnya elaun khas Covid-19 akan diberikan kepada Kakitangan KKM. Tetapi yang sebenarnya pemberian elaun khas adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

"Syaratnya adalah kakitangan tersebut perlu bertugas lebih 14 hari, betul-betul dalam 'sarung nangka' (full PPE).

"Kurang dari 14 hari, mereka hanya akan diberi separuh daripada jumlah elaun khas tersebut," dakwa salah seorang petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan yang enggan namanya didedahkan.

Sementara itu, seorang kakitangan KKM di Johor turut mengutarakan aduan serupa, mendakwa merasa seperti "dianaktirikan."

"Bukan semua kakitangan KKM akan dapat (elaun khas Covid-19). Dan bila tengok balik, hanya yang betul-betul berdepan dengan Covid-19 sahaja yang akan dapat.

"Contoh macam yang duduk dalam khemah-khemah (saringan) Covid-19. Kami yang pertama hadap wabak Covid-19 ini tak dapat.

"Itu yang terkilan kalau tak dapat juga, sebab dapat dia anggap yang duduk khemah tu saja yang berdepan dengan wabak Covid-19, berdepan dengan pesakit positif Covid-19," katanya yang juga enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

'Ikut senioriti'

Dakwa petugas kesihatan itu lagi, selain dibeza-bezakan dalam mendapatkan elaun khas Covid-19, mereka juga turut dibebani kesukaran dalam proses tuntutan mendapatkan elaun tersebut.

"Kemudian nak claim banyak prosedur. Bukan mereka yang bertugas di khemah-khemah saja yang susah nak buat claim dalam kecemasan pun. Sekarang buat zon untuk yang ada sakit berkaitan respiratori (penyakit penafasan).

"Duduk dekat zon tu boleh jadi ada yang positif Covid-19 dan lain-lain. Jadi, memang kena pakai full PPE.

"Ini keluar pula kenyataan baru, ikut ketua jabatan pula nak bagi kepada siapa dan ada yang kata ikut senioriti.

"Ramai juga mengeluh, tanya-tanya pun ramai senior yang tak dapat dan susah nak dapat," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penolong pegawai perubatan di salah sebuah hospital di Lembah Klang yang enggan dinamakan turut meluahkan rasa kesal dan sedihnya.

"KKM memang terbaik, tapi sedih...

"Sedangkan doktor dan jururawat yang terlibat kes Covid-19 yang sepatutnya dapat elaun khas itu dinafikan pihak atasan. 

"Senang cerita elaun khas ini indah khabar dari rupa saja," katanya sambil mendakwa terdapat pihak atasan hospital yang walaupun tidak terlibat langsung mengendalikan kes Covid-19 tetapi "berebut hendakkan elaun khas yang diumumkan."

PM umum dah elok, cantik tapi...

Sementara itu, seorang lagi kakitangan KKM berkata beliau dan rakan-rakan lain menyambut baik pengumuman perdana menteri Muhyiddin Yassin dan menyifatkannya sangat baik.

Tetapi jelas petugas kesihatan yang enggan dinamakan, apa yang menjadi kekesalannya adalah cara pelaksanaan pemberian elaun khas terbabit.

Katanya, terlalu banyak karenah birokrasi dalam pemberian elaun berkenaan.

"Pengumuman perdana menteri itu dah cantik dan elok sangat, sekurangnya petugas barisan hadapan rasa dihargai juga.

"Tapi bila tiba masa pelaksanaan, terlalu banyak birokrasi dan syarat ditetapkan yang akhirnya hanya indah khabar dari rupa.

"Ramai yang terasa, tapi apa yang kami boleh buat? Sabar sajalah.

"Kami juga difahamkan PDRM turut menerima nasib yang sama. Kerajaan umum nak bagi bantuan elaun tambahan RM200, tapi macam-macam syarat dikenakan.

"Yang layak terima hanya mereka yang bertugas lebih dari 15 hari. 8 jam bertugas baru dikira 1 hari, bayangkan kalau tugas 6 jam, maknanya memang tak cukup sehari la," keluhnya kepada Malaysiakini.

Dia yang juga petugas barisan hadapan ini meminta jasa baik menteri dan kerajaan untuk meneliti semula pemberian elaun khas Covid-19 kepada kakitangan awam yang terlibat dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

"Minta (menteri kesihatan) selidik balik syarat-syarat yang layak dapat elaun khas Covid-19.

"Kami bukannya kebulur sangat dengan duit tu, kami cuma mahu rasa dihargai sikit," katanya.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas dari Dr Adham dan pihak Kementerian Kesihatan serta bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun sehingga kini masih belum berhasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS