Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kisah doktor dan pasukannya berjuang selamatkan pesakit kanser

Dr Ho Kim Wah sukar tidur malam setelah kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pakar hematologi yang bertanggungjawab atas pemindahan sel stem (stem cell) di Hospital Ampang itu tidak dapat berhenti memikirkan keadaan tiga pesakit leukemia yang nyawanya kini dipertaruhkan.

Ketiga-tiga pesakit tersebut dijadual membuat pembedahan pada minggu itu, tetapi sekatan perjalanan telah menyukarkan perkara itu kerana sel stem tersebut perlu dibawa dari luar negara.

Pada keesokan pagi, Ho bergegas ke Putrajaya untuk mendapatkan kebenaran untuk pakej (sel stem) penting itu.

Selepas menghabiskan masa berjam-jam di Jabatan Kastan dan Imigresen, beliau diberitahu bahawa beliau perlu mendapatkan kebenaran di Kementerian Kesihatan (KKM).

Kejadian itu berlaku pada 17 Mac, ketika negara menyaksikan peningkatan kes harian Covid-19 tiga digit.

Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Ho ketika itu berpendapat mustahil untuk mendapatkan kebenaran dari KKM ekoran pihak tersebut juga sibuk dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, beliau tetap mencuba dan menunggu.

“Pada siang hari yang sama, kami dapat surat (kebenaran) itu dari Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya sangat berterima kasih kepadanya kerana sudi melayan kami pada tempoh ketika beliau sangat sibuk,” kata Ho.

Difahamkan, Timbalan Pengarah Kesihatan Dr Rohaizat Yon turut secara peribadi permudahkan kertas kerja tersebut.

Tepat pada masanya

Dengan masalah kertas kerja sudah diselesaikan, cabaran seterusnya adalah untuk membawa sel stem itu ke hospital bagi operasi pemindahan pada 18, 19 dan 20 Mac.

Ia tidak boleh ditangguhkan kerana ketiga-ketiga pesakit tersebut telah menjalani prosedur dan sangat terdesak memerlukan transfusi sel darah baru.

Sebelum pemindahan sel stem dilakukan, penerima perlu bebas dari kanser dan melalui rawatan kemoterapi untuk memberi laluan kepada tulang sumsum buat proses tansfusi.

“Saya telah berikan mereka rawatan kemoterapi jadi sel darah putih mereka berada di kadar kosong. Jika saya tidak melakukan proses transfusi dalam badan mereka. Sel darah putih akan berkekalan di kadar rendah pada masa yang sangat sangat lama.

“Seseorang dengan sel darah putih pada kadar kosong tidak mempunyai imuniti dan akan menerima pelbagai jangkitan. Pesakit akan pasti meninggal,” jelas Ho.

Tengah malam pada 17 Mac, pelatih sukarelawan dari Program Tulang Sumsum di Singapura bergegas menyeberangi jambatan dengan satu pakej sel stem tepat sebelum PKP berkuat kuasa.

Dilengkapi dengan permit sah, beliau membuat perjalanan kedua buat pesakit leukimia seterusnya.

Sel stem yang halus dan sensitif terhadap haba itu harus dibawa sendiri dengan tangan dan diberikan pada hari sama pemindahan tersebut dilakukan.

Ho telah membuat perancangan supaya pakar hematologi, Dr Azizan Sharif mengambil pakej tersebut daripada pelatih sukarelawan itu dari Johor sebelum membawanya ke Ampang. Pakej pesakit ketiga pula perlu dibawa dari Thailand.

Ho mengimbas perasaan gementar ketika barang tersebut ditahan beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur dan kemudiannya dilarang memasuki negara.

Dengan berbaki beberapa jam sebelum pemindahan tersebut, beliau terpaksa menghantar rakan sejawatannya Dr Gilbert Wilfred dengan ambulans untuk mengambil barang tersebut dari lapangan terbang.

Janji ditepati

Sudah sebulan setelah sel stem tersebut sampai dari Thailand, dan Choo, 54, berterima kasih kepada doktor, jururawat dan sukarelawan yang bertanggungjawab telah membantu memberinya peluang kedua untuk hidup.

Beliau juga berasa terhutang budi terhadap penderma sel stem yang tidak dikenalinya.

“Saya seperti bayi baru lahir.

“Saya kini ada hari jadi kedua iaitu pada 19 Mac,” kata ayah kepada dua orang anak itu kepada Malaysiakini.

Berasal dari Kota Kinabalu, Choo pertama kali disahkan mempunyai leukimia pada 2018 dan kambuh (relapse) pada tahun lalu.

Pemindahan sel stem ini baginya penting untuk mengurangkan risiko kambuh

Seperti doktornya, Choo turut meluahkan rasa bimbang berikutan pengumuman PKP.

Dengan keadaan imunitinya dan keputusan pemindahan tersebut masih tidak diketahui, adiknya telah terbang dari Sabah untuk bersiap sedia sebagai pilihan kedua penderma sel stem meskipun separuh padan.

Menggunakan sel stem yang separuh padan bermaksud, darah yang hanya mempunyai 50 peratus tahap kepadanan, mendedahkan pesakit kepada risiko tinggi penolakkan dan jangkitan.

Kadar kematian untuk prosedur tersebut juga akan meningkat sehingga 40 peratus.

“Saya menangis dan telefon ibu saya secepat mungkin setelah Dr Ho beritahu bahawa sel stem telah ada di KLIA. Saya sangat gembira.

“Saya sangat beruntung mempunyai pasukan besar doktor menyebelahi saya,” kata Choo.

Choo telah dikeluarkan dari hospital dan kian pulih.

Dia kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan mingguan.

Ketika di wad hematologi, Ho dengan rendah diri menjelaskan semangat kerjasama pasukannya telah membuatkan beliau berupaya untuk memenuhi janji kepada tiga pesakit tersebut.

“Saya janji kepada mereka yang saya akan buat yang terbaik.

“Saya buat yang terbaik dengan pertolongan dari semua, kita akhirnya berjaya mendapatkan sel stem ketika tempoh PKP,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS