Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan belum membekalkan makanan kepada penduduk sekitar pasar borong Kuala Lumpur yang kini diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), dakwa Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt.

PKPD dikuatkuasakan semalam susulan kematian seorang lelaki Myanmar. Pemeriksaan besar-besaran mendapati 28 orang dijangkiti Covid-19.

PKPD itu menjejaskan mata pencarian pekerja asing dan pelarian Rohingya yang bekerja di pasar itu.

Kawasan terjejas ialah Pusat Bandar Utara, Taman Sri Murni, Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Wong berkata kakitangannya di Taman Sri Murni dan Bandar Utara Selayang diberitahu akan diberikan makanan empat kali sehari.

“Tetapi tiada makanan diserahkan pada mereka (setakat tengah hari ini) dan ramai penduduk lapar,” dakwanya kepada Malaysiakini.

Katanya, beliau juga diberitahu bahawa seorang wakil keluarga dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan tetapi tidak berhasil kerana kedai ditutup.

“Beberapa anggota persatuan cuba serahkan makanan kepada kakitangan mereka tetapi mereka dihalang daripada masuk ke kawasan sekitar dan kakitangan mereka pula tidak dibenarkan keluar (ambil makanan),” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mengedarkan makanan dan keperluan kepada kira-kira 16,000 orang yang terjejas. [Baca berita asal]

‘Persiapan awal penting’

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Taman Sri Murni Isaiah Jacob berkata penduduknya tidak menerima bantuan makanan sejak semalam.

"Buat masa ini (sehingga 3 petang) tidak ada bantuan makanan.

"Tetapi, saya diberitahu oleh seorang pegawai di sana bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi bantuan makanan bermula petang ini," katanya.

Sementara itu, seorang aktivis daripada kawasan Selayang memberitahu bahawa keadaan warga asing yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur sangat sedih.

Michele Yap, 46, dari Angel's Food Bank Charity Organisation yang memberikan bantuan makanan kepada rakyat tempatan dan warga asing di kawasan pasar borong sejak tiga tahun lalu, berkata mengadu kepadanya.

"Sudah 40 jam. Masih tidak ada makanan dan minuman,” katanya.

Sementara itu, anggota parlimen batu P Prabakaran menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat persiapan penuh sebelum mengumumkan PKPD di sesebuah kawasan.

Beliau juga berkata pusat khidmat wakil rakyatnya telah menyediakan bantuan makanan kepada 500 penduduk kawasan itu tetapi berdepan masalah untuk mengagihkannya.

"Larangan PKPD adalah penting untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pada masa yang sama kebajikan dan keperluan asas rakyat tidak boleh diabaikan," kata Prabakaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS