Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWP cadang beli barang keperluan asas dari peniaga pasar borong Selayang

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu mencadangkan agar kementeriannya membeli barang keperluan asas dari pasar borong Selayang bagi membantu peniaga di pasar itu menjana pendapatan.

Tambahnya, barang yang dibeli kementerian itu akan disalurkan buat kawasan perumahanan di sekitar pasar borong Selayang yang telah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Kita tak nak mereka (peniaga) rugi, jadi kita bercadang untuk membeli barang keperluan dari mereka (peniaga) agar kita boleh guna untuk salurkan bantuan di kawasan sekitar sana (pasar borong Selayang).

“Dari beli luar, baik saya beli dari mereka supaya senangkan urusan rakyat yang tinggal di kawasan pasar borong itu tetapi perkara ini akan dilakukan secara sistematik,” katanya pada sidang media di bangunan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa kawasan perumahan di sekitar pasar borong Selayang telah diletakkan di bawah PKP yang diperketatkan (PKPD).

Kawat berduri telah dipasang dari pintu masuk pasar borong berhampiran bulatan kuil Batu Caves hingga ke pangsapuri Sri Murni.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kemudian mengesahkan bahawa lapan kawasan sekitar pasar borong telah terjejas dan PKPD akan berkuat kuasa sehingga 3 Mei.

Sementara itu, Santhara yang juga merupakan anggota parlimen Segamat menjelaskan sebab PKPD di sekitar kawasan pasar borong itu dijalankan secara mengejut dan rahsia.

Tambahnya, ini kerana pihaknya tidak mahu warga asing yang tinggal di kawasan tersebut lari setelah mendapat tahu khabar PKPD tersebut.

“Ketika PKPD di kawasan Masjid India, setelah keluar pengumuman, ramai warga asing termasuk warga Rohingya yang tiada dokumen larikan diri kerana takut ditahan.

“Jadi belajar dari kes tersebut, kita perbaiki dan kami berbuat demikian (secara rahsia) kerana bukan untuk publisiti tapi atas usaha untuk putuskan rantaian kerana kita tidak mahu ada kes kluster baru,” katanya.

Selain itu, Santhara turut memaklumkan kawasan tersebut dikenakan PKPD setelah mendapati peningkatan kes Covid-19 dan satu kes kematian.

“Yang didapati kes kematian adalah seorang warga Myanmar positif Covid-19 di hospital.

“Jadi keputusan PKPD dibuat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) setelah penelitian khusus,” katanya lagi.

Selain itu, bantuan barang keperluan asas buat penduduk warga Malaysia di situ juga akan diberikan secepat mungkin bermula hari ini.

Bagaimanapun, buat penduduk warga asing di situ, kementerian akan mendapatkan bantuan dari syarikat korporat dan pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

“Warga asing kita ada formula berbeza contohnya kita akan hubungi UNCHR dan pihak itu juga sudah setuju untuk berjumpa.

“Pada masa sekarang kita dapat bantuan (dari beberapa syarikat korporat) sebanyak RM750,000 buat warga asing.

“[...] kita tak gunakan wang kerajaan kerana itu untuk rakyat tetapi kita pentingkan juga kebajikan warga asing kerana mereka sudah duduk di negara kita dan kita akan tetap bantu mereka,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS