Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tengah mesyuarat teliti data sensitif, MP Batu masuk tinggi suara'

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu menyifatkan dakwaan pertelingkahannya bersama Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran semalam sebagai fitnah.

Sebaliknya, Santhara berkata beliau ketika itu sedang bermesyuarat secara peribadi bersama beberapa agensi kerajaan di pusat kawalan di sebelah pasar borong Selayang.

“Itu bukan pertelingkahan, saya tengah mempengerusikan mesyuarat (secara peribadi) untuk meneliti data sensitif, maka (yang terlibat) timbalan menteri, wakil majlis keselamatan negara (MKN), ketua polis dan panglima tentera yang angkat sumpah rahsia.

“(Ketika itu) YB (Prabakaran) datang buka pintu terus masuk kerana ketika itu saya belum tamatkan mesyuarat dan belum mula mesyuarat bersama jabatan kebajikan masyarakat (JKM), saya minta dia tunggu di luar.

“YB (Prabakaran) kemudian tinggikan suara, terus saya berkata “boleh YB (Prabakaran) tunggu sebentar di luar dan biar saya habiskan mesyuarat”.

“Adakah itu boleh dikatakan sebagai pertelingkahan,” katanya pada sidang media di bangunan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Sementara itu, Santhara yang juga merupakan ahli parlimen Segamat- menjelaskan tindakan Prabakaran (gambar bawah) memuat naik video tersebut adalah tidak bertanggungjawab kerana terdapat ramai saksi di dalam mesyuarat tersebut.

Katanya lagi, beliau juga tidak berhasrat membuat laporan polis dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap Prabakaran buat sementara ini.

“Saya belum buat laporan polis, saya tengah dapatkan nasihat dari peguam.

“Kalau lihat dari video Facebook itu, dia agak dalam bentuk fitnah dah mengelirukan tetapi dalam keadaan PKP ini saya rasa dua parti - penyokong dan pembangkang - kena bersatu untuk berkhidmat buat rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Santhara dan Prabakaran dilaporkan bergaduh di kawasan Taman Sri Murni di Selayang - yang kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diperketatkan (PKPD).

Prabakaran -menerusi satu video di akaun Facebook berkata, semasa kunjungannya di Taman Sri Murni dia mengetahui Santhara sedang mengadakan mesyuarat di pusat kawalan di sebelah pasar borong Selayang, dan memutuskan untuk mengadakan perbincangan bagi membantu penduduk bersama timbalan menteri itu.

Prabakaran berkata dia tidak diizinkan menghadiri mesyuarat itu namun tidak kesal atau kecewa kerana menyedari kedudukannya sebagai ahli parlimen pembangkang dan tetap menunggu sehingga Santhara menyelesaikan urusannya.

Setelah meninggalkan tempat tersebut, Prabarakan diberitahu polis bahawa mereka menerima arahan untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Prabakaran berkata beliau berada di balai polis tersebut sekitar empat hingga lima jam dan dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 10 malam tadi selepas diambil keterangan.

Tambah Prabakaran, dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota parlimen yang menjalankan tugasnya selama tempoh PKP.

MKN tak keluarkan surat kebenaran bertulis

Sementara itu, wakil MKN yang enggan dinamakan mengesahkan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan surat kebenaran secara bertulis buat anggota parlimen tersebut untuk bertugas, seperti yang dinyatakan oleh Prabakaran kepadanya semalam.

“Saya ada tanya YB (Prabakaran) untuk tunjukkan surat permohonan yang dia kata dapat dari MKN dan dia hanya berdiam.

“Kami (MKN) juga sahkan kami tak beri surat kebenaran secara bertulis buat anggota parlimen tersebut,” katanya yang turut hadir pada sidang media itu.

Selain itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim yang turut hadir pada sidang media tersebut mengesahkan penahanan anggota parlimen tersebut.

Tambahnya, anggota parlimen itu ditahan di bawah Seksyen 186 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kita juga akan siasat dakwaan bahawa beliau mendapat surat kebenaran dari MKN,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS