Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan gesa penganjur bazar pulangkan duit peniaga
Diterbitkan:  Apr 21, 2020 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Kerajaan menggesa penganjur bazar Ramadan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memulangkan kembali bayaran deposit yang telah dibuat peniaga, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu mengingatkan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kesulitan yang berlaku ketika wabak Covid-19 ini.

Beliau meminta pengajur bazar Ramadan supaya mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memulangkan semula deposit peniaga apabila kerajaan memutuskan untuk tidak mengadakan bazar tahun ini.

"Saya harap janganlah ada sesiapa pun ambil kesempatan daripada kesusahan orang lain, mereka bayar deposit dengan harapan bazar Ramadan dibuka, tapi kerajaan buat keputusan untuk tidak benarkan.

"Jadi saya minta pulangkanlah, contohnya DBKL pulangkan keseluruhan bayaran sesiapa yang daftar.

"Kalau tak nak pulang mungkin boleh guna untuk deposit tahun akan datang, tapi sebaiknya pulangkanlah," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Pada 13 April lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perkara itu dimaklumkan Ismail pada sidang media harian yang menyifatkan keputusan itu dibuat bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Susulan itu peniaga bazar Ramadan menuntut supaya bayaran deposit mereka dipulangkan.

Empat hari lalu, dalam sidang media harian sama, Ismail memaklumkan DBKL akan memulangkan semula deposit kepada peniaga bazar Ramadan.

Ismail bekata, langkah itu adalah seiring selepas semua bentuk bazar Ramadan dan gerai Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun ini.

Semalam, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meminta kerajaan melalui DBKL dan penganjur bazar Ramadan supaya memulangkan semula keseluruhan bayaran tapak bazar yang dikenakan kepada para peniaga.

Beliau berkata, ia termasuklah deposit, sewa tapak dan lain-lain yuran atau bayaran yang dikenakan.

Dalam pada itu, Ismail turut meminta pemimpin masyarakat dan parti politik supaya membantu orang kelainan upaya (OKU) untuk membuat semakan Bantuan Prihatian Nasional (BPN).

Sementara itu, dalam isu berasingan Ismail berkata operasi Pasar Borong Selayang ditutup selama empat hari sehingga Khamis ini bagi tujuan pembersihan (sanitasi).

Jelasnya, pasar tersebut tidak ditutup selama 14 hari seperti dikuatkuasakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Peniaga pula mungkin kita minta Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan (saringan) bagi memastikan mereka tiada jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan sama ada bekalan barang basah akan terjejas susulan laporan penutupan operasi Pasar Borong Selayang.

Katanya pasar borong itu tidak termasuk dalam kawasan PKPD kerana arahan itu hanya membabitkan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS