Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'gor jangka habiskan 5,000 kit ujian Covid-19 Khamis ini
Diterbitkan:  Apr 21, 2020 3:02 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjangkakan menjelang Khamis ini, negeri berkenaan akan berjaya menghabiskan ujian saringan Covid-19 menggunakan 5,000 kit ujian.

Katanya, setakat ini, ujian komuniti itu memberikan hasil yang sangat baik kerana berjaya mengesan kes tidak bergejala di dalam komuniti.

“Daripada catatan kita, kita buat 600 saringan pada kali pertama, ada lima kes yang dapat dikesan, empat kes (daripadanya) adalah tidak bersimptom.

“Empat kes yang tidak bersimptom ini sebenarnya sangat berbahaya kerana mereka boleh menyebar (penyakit) di peringkat bawah,” katanya yang menekankan peri penting melakukan ujian saringan yang merangkumi semua pihak.

Katanya, Selangor sememangnya mengmabil pendekatan agresif dengan melakukan ujian di lokasi, berbanding menunggu kes dan mencari kontak pesakit, lebih-lebih lagi katanya, di Selangor, sebanyak 34 peratus daripada mereka yang dijangkiti adalah tidak bergejala.

“Jadi ini sangat berbahaya kerana mereka menjadi agen yang membawa wabak ini di persektiran dan di awam,” katanya lagi.

Amirudin (gambar, atas) berkata demikian pada sesi telesidang bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang disiarkan di Facebook tadi.

Ujian itu merupakan salah satu program tambahan dalam pakej rangsangan Selangor yang turut merangkumi dana khas untuk menangani Covid-19.

Kerajaan Selangor pada 11 April lalu memulakan saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu di negeri berkenaan.

Setakat ini, Selangor mencatatkan kes Covid-19 tertinggi di Malaysia melibatkan 1,345 kes, dengan 14 kematian.

Usaha Selangor itu turut mendapat pujian Anwar yang membuat perbandingan antara Malaysia dengan Kanada dan Australia, yang mempunyai jumlah penduduk yang tidak jauh berbeza, tetapi kedua-dua negara itu mempunyai keupayaan ujian yang katanya “jauh lebih tinggi.”

“Jadi, angka yang diperolehi tentang yang positif Covid-19 tentu lebih tinggi. Jadi saya bimbang, kalau kerajaan terus dengan angka (ujian) yang ada, kita tak dapat kenal pasti apakah ini kedudukan kesihatan jangkitan Covid-19 (yang sebenar) atau tidak,” kata Anwar.

Pada 13 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian bersasar yang ditumpukan kepada kumpulan tertentu, mempunyai kadar pengesanan positif lebih tinggi berbanding ujian besar-besaran.

Walaupun begitu, pada 16 April, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan ujian besar-besaran di kalangan orang ramai, setelah menerima kit ujian pantas (RTK) dari sebuah syarikat Korea Selatan yang mempunyai tahap kepekaan dan kekhususan yang tinggi.

Selain itu, Amirudin turut memaklumkan perkembangan e-bazar Ramadan di Selangor yang akan diluaskan melalui satu platform baru, yang tidak lagi hanya tertakluk pada perkhidmatan e-hailing Grabfood.

Katanya, plaform baru yang dikenali sebagai Platform Selangor itu buat masa ini akan melibatkan empat pengendali penghataran barangan tempatan.

Bagaimanapun, Selangor sedang dalam usaha menjemput mana-mana pengendali makanan lain untuk turut serta dalam usaha membesarkan lagi jaringan perniagaan makanan menerusi e-hailing.

Malah Selangor turut dalam perancangan untuk untuk menganjurkan e-ekspo Raya, bagi memberi peluang kepada peniaga berniaga barangan dan makanan untuk Hari Raya seperti baju raya dan kuih-muih. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS