Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerana PKP, ada bakal pengantin sanggup 'ugut' mufti

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bukan saja menerbitkan kelaziman baru, malah sebelum itu ia membawa beberapa cabaran kepada orang ramai, termasuk pasangan yang merancang pernikahan lebih awal.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, berkata ada pasangan terbabit yang terdesak sehingga sanggup 'mengugut' mufti agar menanggung dosa mereka jika berlaku sesuatu yang terlanjur gara-gara pernikahan berkenaan terganggu.

"Beberapa mufti menceritakan bahawa ada pasangan yang merayu supaya mereka diberi kebenaran untuk mereka bernikah ketika PKP ini, sedangkan jabatan agama Islam minta tangguh terlebih dulu.

"Mereka merayu dengan mufti supaya permudahkan urusan mereka sebab mereka nak nikah, bukan berzina.

"Pasangan berkenaan berkata kepada mufti, kalau mereka berzina mufti perlu tanggung dosa mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Disebabkan itu mufti dan jabatan agama Islam kata Zamihan terpaksa mencari jalan menyelesaikan. Islam sendiri, katanya, menyarankan bahawa urusan perkahwinan seharusnya dipermudahkan.

"Pasangan ini mendaftar untuk berkahwin awal Mac lalu, iaitu sebelum PKP dilaksanakan.

"Apabila PKP dilanjutkan lagi mereka sudah tidak dapat bersabar," katanya.

Malaysia mencatat sejarah tersendiri tiga hari lalu apabila pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif diijabkabulkan secara dalam talian.

Mereka menjadi pasangan pertama di Malaysia dinikahkan melalui sidang video yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Majlis akad nikah kedua-dua pasangan berusia 29 tahun itu diadakan di rumah keluarga masing-masing di Setapak dan Setiawangsa.

Tidak seperti majlis akad nikah biasa, Muhammad Don dilihat duduk di ruang tamu dengan disertai oleh ahli keluarganya yang lain, manakala Nahdatul Aisyah ditemani kedua ibu bapanya.

Muhammad Don dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Pastikan capaian internet stabil

Permohonan kebenaran berkahwin dalam talian merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi memudahkan pasangan yang ingin diijabkabulkan berikutan pelaksanaan PKP

Selangor hari ini mula membenarkan majlis akan nikah melalui sidang video dalam tempoh PKP dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu satu tatacara terperinci serta ketetapan baru yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan piawaian yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Zamihan berkata, kita berdasarkan hukum Islam sesuatu pasangan yang ingin berkahwin kerana mahu mengelak zina, maka pihak yang berkenaan wajib menikahkan mereka.

Katanya dari segi hukum pernikahan secara dalam talian adalah sah sekiranya mengikut saluran ditetapkan pihak berkuasa dan sesuai dalam situasi ketika ini.

"Urusan perkahwinan itu harus dipermudahkan dan nikah dalam talian adalah sah disisi Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan meluluskannya pada 2011, Majlis Fatwa Negeri sembilan pada 2012 dan Majlis Fatwa Selangor pada 2016.

"Jika melalui saluran ditetapkan, mengikut prosedur jabatan agama Islam dan jurunikah yang diiktiraf, terhindar daripada unsur penipuan, maka tiada masalah.

"Bagaimanapun capaian internet harus dipastikan elok supaya lafaz ijab dan kabul jelas tanpa tersekat-sekat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS