Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais: Beri PM ruang tadbir negara tanpa campur tangan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Rais Husin Mohamed Ariff berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu diberikan ruang untuk mentadbir negara tanpa sebarang campur tangan.

Rais berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuntutan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya beberapa pemimpin partinya di Sabah diangkat menjadi pemimpin dalam kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelas Rais, Umno yang merupakan parti dalam kerajaan seharusnya menurut keputusan yang telah dicapai berdasarkan kata sepakat yang dibuat.

“Perdana menteri mesti dibenarkan untuk mentadbir dan mengemudi dalam keadaan yang sangat mencabar ini tanpa sebarang campur tangan.

“Bahkan, beliau perlu disokong kerana kita sedang menghadapi pandemik yang tidak dijangkakan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Semua ahli politik patut berhenti politiking dan tumpukan kepada rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 17 April, berdasarkan sepucuk surat ditandatangani presiden Umno yang dilihat Malaysiakini, parti itu antara lain menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat itu yang bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah".

Wartawan veteran A Kadir Jasin bagaimanapun menyifatkan surat itu sebagai Umno sedang membuli Muhyiddin dengan tuntutan tersebut.

Sementara itu, Rais menambah bahawa pada saat negara sedang bertungkus-lumus memerangi Covid-19, adalah lebih baik perhatian diberikan kepada membantu rakyat yang terjejas berbanding berbicara tentang perebutan kuasa.

Rais berkata, memberi perhatian membantu rakyat ketika ini adalah lebih beretika dan bermoral untuk dilakukan.

“Kita menghadapi pandemik Covid-19 yang memberikan impak teruk terhadap semua rakyat Malaysia dari segi psikologi dan ekonomi - kehilangan pekerjaan, kemiskinan dan kesusahan mengejut yang menjejaskan kehidupan orang ramai.

“Ia bukan masa untuk berebut-rebut untuk mendapatkan kedudukan dan/atau kuasa. Sebaliknya, perhatian perlu diberikan kepada bantuan terhadap rakyat.

“Perhatian perlu kepada banyak pihak bukan sesetengah sahaja. Ia bukan sahaja perkara yang beretika untuk dilakukan tetapi juga ia perkara moral dan logik untuk dilakukan (ketika ini),” katanya kepada Malaysiakini.

Jejas hubungan sesama parti

Sementara itu, Prof Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata tuntutan sedemikian akan menjejaskan hubungan kepercayaan antara parti dalam PN dan mampu mewujudkan perpecahan.

“PN tidak memerlukan perkara sebegini dalam keadaan negara menumpukan sepenuh tenaga mewujudkan suasana selamat dan sihat di Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, Kartini berkata surat itu perlu benar-benar dibuktikan kesahihannya dan bukan mainan dari laskar siber politik (cybertrooper) yang cuba memecahkan kekuatan PN kerana dilihat mendapat pujian dalam mengawal pandemik Covid-19.

“(Jika ia benar), ia mungkin menjadi tekanan baru kepada Muhyiddin yang sedang lagi bertungkus lumus bersama barisan hadapan negara mengawal wabak Covid-19 ini,” katanya.

Tambahnya, ia juga merupakan tindakan yang tidak berintegriti untuk campur tangan dalam kerajaan PN.

Selain Bung Moktar, surat itu turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, dicadang agar dilantik sebagai ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Turut disenaraikan dalam tuntutan surat berkenaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkap ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Kartini turut menyifatkan menamakan Bung Moktar adalah tidak sesuai kerana Muhyiddin sebelum ini telah menyatakan pentadbirannya bebas daripada mereka yang terpalit dengan rasuah.

Untuk rekod Bung Moktar ialah ahli parlimen Kinabatangan dan sedang dibicarakan - bersama isterinya, Zizie Izette Samad - atas tuduhan rasuah semasa menjadi pengerusi bukan eksekutif Felcra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS