KORONAVIRUS | Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 kira-kira sebulan lepas, orang ramai kini nampaknya sudah membiasakan diri untuk kembali ‘mengenali’ kedai runcit.
Walaupun berhadapan dengan saingan sengit pasar raya besar selaras dengan peredaran zaman; dalam persekitaran PKP ketika ini kelebihan dilihat ada di pihak kedai runcit; yang lokasinya tidak jauh pun dari kediaman ramai, namun kepentingannya sering dipandang enteng.
Dari satu sudut, PKP ini dilihat sebagai satu rahmat yang terselindung bagi pengusaha kedai runcit, dan buat para pelanggannya, mungkin satu kebiasaan baharu sedang muncul.
Asmah Harun, 58, yang mengendalikan kedai runcit di Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu, adalah antara yang berasa gembira melihat ramai pelanggan berkunjung ke kedainya sejak kebelakangan ini.
“Walaupun saya tidak buka kedai sehingga lewat malam, hasil jualan nampak lebih baik kerana jumlah pelanggan meningkat.
"Sebelum ini hanya beberapa penduduk kampung sini saja yang datang ke kedai saya, tapi sekarang penduduk kampung berhampiran pun datang beli barang di sini.
"Terlalu ramai (pelanggan) sehingga polis terpaksa datang untuk kawal keadaan dan memastikan jarakan sosial dipatuhi,” katanya kepada Bernama.
Tak perlu berbaris panjang
Asmah berkata dia terpaksa mengambil stok barang lebih banyak daripada pembekal berbanding sebelum ini bagi memenuhi permintaan yang boleh dikatakan melonjak tiba-tiba.
Selain itu, dia turut membenarkan beberapa penduduk kampung meletakkan makanan yang dibungkus di kedainya untuk dijual kepada pelanggan.
Asmah berkata kebanyakan lelaki memilih berbelanja di kedainya kerana ia lebih mudah. Hanya serahkan senarai barang-barang yang hendak dibeli kepada pembantu kedai, dan semuanya akan diuruskan tanpa perlu mereka ke sana sini mencari.
Mohd Fazil Ibrahim, 45, seorang pelanggan kedai runcit di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, berkata kedai runcit yang terletak hampir dengan rumahnya sangat banyak membantu semasa tempoh PKP.
Tambahan pula katanya dia tidak perlu berbaris panjang untuk membuat pembayaran sebagaimana kebiasaan bagi pasar raya besar.
Kedai runcit itu turut menjual segala jenis barang keperluan termasuk sayur-sayuran segar, ikan, udang, daging, dan bermacam lagi.
“Saya juga boleh berhutang, memang saya ada berhutang di kedai sini,” katanya.
Kedai runcit di selatan negara, di Johor Bahru, juga ketika ini dilihat menjadi pilihan ramai.
Tiada sekatan jalan raya
Nur Faezah Mohd Khalid, 30, berkata dia sering mengunjungi kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 800 meter dari rumahnya di Larkin sejak PKP dikuatkuasakan.
Sebelum ini tempat yang sering menjadi pilihannya ialah pasar raya, pasar basah, pasar tani dan juga pasar malam.
“Ia bukan saja menjimatkan masa, tapi soal keselamatan. Saya lebih risaukan keselamatan anak-anak kecil, perlu elak daripada membawa mereka berbelanja di tempat-tempat kunjungan ramai,” katanya kepada Bernama sebagai merujuk kepada kebimbangan wabak Covid-19.
Pandangan itu turut dipersetujui suri rumah, Ainy Md Yunos, 68, dari Kota Bharu, Kelantan.
Pembantu jurutera Radio Televisyen Malaysia, Salizah Duasa, 32, yang tinggal di Negeri Sembilan pula berkata, dia tidak risau untuk berbelanja di kedai runcit di Seremban 2 kerana pengusaha kedai itu memastikan jarak sosial dipatuhi, di samping menyediakan pensanitasi tangan.
“Untuk pergi ke pasar raya besar kita perlu melalui sekatan jalan raya, manakala untuk beli secara dalam talian pula, ia mengambil masa sebelum barang itu sampai.
"Lebih mudah berbelanja di kedai runcit saja. Lagi pun tidak ada banyak bezanya dari segi harga,” katanya.
Tinjauan di Ipoh, Perak, mendapati kedai runcit, atau sering dirujuk sebagai "kedai Acheh", juga amat popular dalam kalangan orang ramai sejak kebelakangan ini.
- Bernama