Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kekal duduk di rumah' - Hadiah hari lahir paling istimewa buat Dr Noor Hisham

"Sempena hari jadi saya esok, 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi."

Demikian ungkap Dr Noor Hisham Abdullah sambil tersenyum.

Ketua Pengarah Kesihatan itu yang menjadi tumpuan media dan rakyat Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda dunia, genap usianya 57 tahun pada Selasa, 21 April.

Saban hari, kemunculan anak kelahiran Sepang, Selangor itu di kaca televisyen pada lima petan, sentiasa dinanti-nantikan bagi mendapatkan maklumat perkembangan mutakhir Covid-19 dan hal berkaitan.

Menjelang hari ulang tahun kelahirannya, Noor Hisham membawa khabar positif wabak Covid-19 apabila menyatakan jumlah kes positif baru dicatatkan Malaysia pada Isnin adalah yang terendah sejak 12 Mac lepas dengan 36 kes dan tiada kematian dilaporkan.

Ketika ditemui Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan itu menyampaikan pesanan meminta semua rakyat Malaysia kekal di rumah dan mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai hadiah hari lahirnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di dunia.

Disenarai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani situasi Covid-19, Noor Hisham menyifatkan permintaan itu adalah antara hadiah hari lahir paling bermakna buatnya.

Dua lagi doktor, yang disenarai rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN), ialah Dr Anthony Fauci daripada Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield daripada New Zealand.

CGTN menyatakan ia “menobatkan” Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak Covid-19 di Malaysia.

Jelas CGTN, sebelum ini tidak ramai yang mengenali Noor Hisham dan dua lagi tokoh berkenaan, namun mereka kini menjadi sumber maklumat paling dipercayai bagi pandemik itu di negara masing-masing.

Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Dr Hasan Abdul Rahman.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS