Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Industri tekstil dan pakaian mohon dibenar beroperasi musim raya

Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) meminta kerajaan menyelamatkan industri tekstil dan pakaian untuk terus beroperasi.

Permintaan itu hadir selepas pengumuman penutupan syarikat pakaian yang berpangkalan di Hong Kong, Esquel Malaysia dan Syarikat TAL Group yang mengendalikan kilang Pen Apparel di Pulau Pinang dan Imperial Garments di Ipoh, Perak.

Penutupan dua syarikat dan empat kilang kerana kejatuhan ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 boleh menyebabkan ribuan pekerja kehilangan pekerjaan.

Bercakap dengan Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Pro-tem FMFTA, Tan Thian Poh berkata lebih banyak pengeluar dan peruncit tekstil serta pakaian akan ditutup sekiranya tidak ada usaha daripada kerajaan untuk membantu industri berkenaan.

Tan berkata, FMFTA telah menulis surat kepada kerajaan mengenai beberapa cadangan tetapi masih belum mendapat maklum balas.

Menurut Tan, terdapat 10,000 kilang tekstil dan pakaian yang menggaji sehingga 100,000 pekerja, sementara peruncit pakaian mempunyai sehingga 500,000 pekerja.

Bagi permulaan, Tan memohon kerajaan untuk mengizinkan pengilang, peruncit tekstil dan pakaian untuk kembali beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat tanpa harus menunggu perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 28 April.

Pengerusi Jawatankuasa Pro-tem FMFTA, Tan Thian Poh.

Langkah itu memungkinkan pakaian perayaan untuk Aidifitri, yang kini tersekat di operasi pengeluaran atau gudang, untuk segera memasuki kedai bagi memberikan pembeli lebih banyak masa untuk berbelanja.

Tan turut menyatakan kilang dan kedai boleh dikenakan langkah penjarakan sosial yang sangat ketat dengan mengecilkan skala operasi mereka, mengurangkan waktu operasi dan juga mengehadkan pelanggan yang memasuki premis tersebut.

"Jualan musim Aidilfitri menyumbang 30 peratus daripada perolehan tahunan kami. Kami perlu menghantar baju raya ke pasaran sekurang-kurangnya satu bulan sebelum perayaan," kata Tan.

Tan juga menyatakan cadangan FMFTA itu untuk meminimumkan kerugian berikutan gangguan perniagaan selama lebih dari satu bulan dan industri meramalkan situasi mencabar walaupun PKP tamat nanti.

"Saya diberitahu di sebuah pusat beli-belah tertentu, pakaian perayaan yang tersangkut bernilai ratusan juta ringgit. Sekiranya baju raya tidak terjual, maka pakaian itu akan disimpan di gudang sehingga Aidilfitri tahun depan," katanya.

"Masalah aliran tunai adalah masalah utama yang dihadapi oleh industri," tambah Tan.

Dia mengatakan bahawa cadangan untuk membuka semula perniagaan bagi membantu meningkatkan status kewangan mereka sebelum mereka terpaksa menutup atau memberhentikan kakitangan mereka.

Tambah Tan lagi, perniagaan akan lebih terjejas terutamanya bagi pengeluar yang terlibat dalam eksport kerana pesanan di luar negara telah dibatalkan susulan pandemik Covid-19 dan PKP.

"Mereka tidak dapat mengeksport pakaian untuk penggunaan musim panas dan pelanggan telah membatalkannya ketika musim luruh datang," jelasnya.

Katanya, kira-kira 60 peratus pakaian yang dikeluarkan di Malaysia akan dieksport dan jumlahnya mencecah RM13.8 bilion.

Dia percaya kerugian yang ditanggung pemain industri Dalam tempoh PKP sekitar RM2.6 bilion di bahagian pengeluaran dan RM3.46 bilion lagi di pihak peruncit pakaian.

Dia membuat kesimpulan berdasarkan sektor pembuatan pakaian dan tekstil yang bernilai RM22.5 bilion dan peruncit pakaian bernilai RM30 bilion pada tahun 2019.

"Dengan permintaan global yang menurun, kami mengusulkan penggantian import di mana kami dapat menyediakan pembekal pengilang tempatan ke pasar domestik," katanya, sambil menambah kerajaan harus melaksanakan polisi yang bebas kepada pengilang untuk mendorong peningkatan kecukupan perniagaan.

Ketika ini, kerajaan nampaknya tidak mendorong pembuatan tekstil dan pakaian secara lokal kerana dianggap sebagai industri yang intensif, turut Tan.

Dengan mengutip duti import terhadap beberapa bahan tekstil dan pengecualian duti import terhadap pakaian, dia mengatakan ini menjadikan produksi tempatan tidak dapat bersaing dengan pakaian yang diimport.

Ia dapat dilakukan dengan memberi insentif, termasuk mengecualikan duti import dari bahan tekstil dan cukai penjualan.

Tan juga menyifatkan kerajaan mengabaikan syarikat besar dengan Pakej Rangsangan Tambahan bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh perdana menteri pada 6 April lalu.

"Tidak banyak pertolongan (diberikan kepada kami) untuk mengurangkan beban kecuali subsidi gaji, tetapi terhad kepada 200 pekerja. Kami mempunyai lebih daripada 200 kakitangan," katanya.

Dia mengatakan bahawa majikan berada dalam dilema kerana perlu mendapatkan persetujuan kakitangan ntuk mengambil gaji yang lebih rendah, dan beberapa majikan mendapati diri mereka berada dalam kedudukan yang sukar sehingga ingin menghentikan operasi.

Katanya lagi kerajaan harus lebih tegas dengan mengumumkan majikan dapat mengurangkan gaji pekerja dengan segera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS