Nurul Hidayah, yang merupakan anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mencabar pihak yang mengkritiknya atas dakwaan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) membuat laporan polis terhadapnya.
Nurul Hidayah berkata demikian dalam ruangan komen di Instagram ketika membalas ulasan seorang pengguna media sosial yang mengulas salah satu gambarnya selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad yang diambil di Putrajaya hari ini.
"Semua ini boleh dibuat melalui video call (panggilan video)," kata ulasan itu.
Nurul Hidayah kemudian membalas dengan berkata: "Reportlah (laporlah) polis tak payah komen sini. Saya sedia bagi keterangan dari saya. Saya cabar".
Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri dan Nurul Hidayah untuk ulasan lanjut.
Membalas cabaran Nurul Hidayah, pengguna media sosial itu kemudian berkata: "Saya tak terima cabaran ini. Saya duduk rumah sajalah. Saya duduk rumah saja."
Gambar yang menjadi pertikaian memaparkan Nurul Hidayah, bersama suaminya dan Masrizal. Mereka berdiri di luar bangunan kementerian itu di Putrajaya.
Pada gambar itu, Nurul Hidayah menyertakan keterangan: "Selepas selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa dengan YB Datuk Dr Masrizal, Timbalan Menteri. Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak beliau menjadi Setiausaha Politik kepada abah saya @ahmadzahidhamidi tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family".
Dalam kiriman berasingan, Nurul Hidayah turut memuat naik gambarnya bersama menteri agama Dr Zulkifli Mohamad.
Membalas pengguna media sosial yang mempersoalkan bagaimana dia dapat menghadiri perjumpaan itu bersama suaminya, Nurul Hidayah hanya menjawab dengan "#malasnaklayanorangnegatif"
Dalam siri kiriman Instastory malam ini, Nurul Hidayah dilihat memandu sendirian ke mesyuarat berkenaan.
Garis panduan yang ditetapkan di bawah PKP fasa kedua dan ketiga antara lain adalah hanya seorang yang dibenarkan dalam satu kereta dan perjalanan terhad dalam lingkungan 10km kecuali dengan kebenaran khas dari polis atau kebenaran untuk bekerja.
Dalam satu lagi kiriman Instastory yang dipercayai ditujukan kepada pengkritiknya, Nurul Hidayah menyifatkan mereka sebagai "kurang cerdik" dan tidak mengetahui perbezaan antara PKP dan perintah berkurung.
Beberapa pemimpin PN sebelum ini turut mendapat kritikan sama pengguna media sosial selepas didakwa melanggar PKP, termasuklah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.
Noor Azmi hari ini memohon maaf atas perkara itu dan berikrar akan memberi kerjasama dalam siasatan polis terhadapnya.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang bertanggungjawab memantau penguatkuasaan PKP sebelum ini menegaskan bahawa semua pihak tertakluk dengan undang-undang dan semua laporan polis berkaitan akan disiasat.