Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti: Semua negeri wajar pertimbang kadar zakat lebih murah

Setiap negeri wajar mempertimbangkan kadar bayaran zakat fitrah yang lebih murah memandangkan ramai umat Islam yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan pendapatan mereka, kata Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor.

Wan Salim menjelaskan, zakat fitrah hanya diwajibkan kepada umat Islam yang memiliki perbelanjaan yang melebihi keperluan diri dan ahli-ahli keluarga yang ditanggungnya.

“Kadar pembayaran zakat fitrah yang lebih rendah bagi tahun ini dikira wajar dan perlu dipertimbangkan.

“Pihak pengurusan zakat setiap negeri perlu pertimbang semula kadar bayaran ini mengikut situasi semasa negara,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad sebelum ini menyatakan kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan pada tahun ini ditetapkan pada RM5 dan RM7 selepas mencapai persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan dengan melihat kepada situasi semasa.

Zulkifli berkata penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat.

Sementara itu, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata negeri itu juga menetapkan kadar bayaran zakat fitrah sebanyak RM7 bagi tahun ini.

“Satu tinjauan dan kajian dilakukan oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebelum menetapkan kadar bayaran itu.

“Untuk negeri Kelantan, tiga gred beras yang dimakan dan dijual oleh rakyat di sini diambil kira dan diklasfikasi kepada gred super, pertengahan dan rendah kemudian bahagi tiga untuk mendapatkan kadar zakat tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Shukri turut berkata zakat fitrah merupakan satu ibadat yang perlu dilaksanakan bagi yang berkemampuan.

“Contoh saya mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak, tetapi saya hanya mempunyai wang untuk membayar diri sendiri dan pasangan maka anak-anak saya tidak wajib untuk membayarnya.

“Namun jika memang tidak mempunyai wang untuk membayar untuk seluruh ahli keluarga, maka saya berhak untuk menerima zakat tersebut,” jelasnya.

Umat Islam dijadualkan akan menjalani ibadah puasa pada Jumaat ini ketika negara masih dalam PKP yang sudah memasuki fasa ketiga.

PKP diperkenalkan pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 dan dijadual tamat pada 28 April sekiranya tidak dilanjutkan lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS