Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belum perlu laksana PKPD di Felda Sahabat - polis
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 7:02 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Tiada keperluan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Sahabat, Tungku dekat Lahad Datu, setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata banyak aspek perlu diambil kira sebelum kawasan Felda itu diumumkan PKPD dan ketika ini keadaan masih terkawal dan keperluan adalah mempertingkatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan.

"Buat masa ini, kami laksanakan sekatan pergerakan keluar dan masuk ke Felda itu sejak semalam, sehingga petugas kesihatan menjalankan saringan COVID-19 kepada semua penduduk terlibat," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Lahad Datu, hari ini.

Katanya, proses saringan kesihatan itu dijangka selesai dijalankan sehingga Rabu ini.

"Susulan itu, sehingga keputusan saringan kesihatan diperoleh, pasukan keselamatan dan agensi terlibat akan melipatgandakan kawalan di Felda bagi membendung penularan pandemik COVID-19 ini," katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan terdapat 11 kes positif COVID-19 di Felda Sahabat, Tungku, Lahad Datu.

Lahad Datu juga merupakan antara tiga daerah di Sabah berada dalam zon merah untuk kes positif COVID-19 selain Tawau dan Kota Kinabalu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS