Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM jangka kes harian satu digit dalam tempoh seminggu

Kementerian Kesihatan berharap kes Covid-19 baru akan berada pada paras satu digit dalam tempoh seminggu, kata ketua pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Kita perlu terus melakukan apa yang kita lakukan dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa satu dan fasa dua dan berharap dapat menurunkan angka (pertambahan kes harian).

"Hari ini kita mempunyai 36 kes baru, antara yang paling rendah, tetapi kita ingin melihat satu digit.

"Mungkin kita dapat mencapai satu digit dalam tempoh satu minggu," kata Noor Hisham dalam sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Noor Hisham menekankan bahawa ia hanya dapat dilakukan jika semua pihak bekerjasama dan memastikan orang ramai terus tinggal di rumah.

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham berkata penurunan kes baru yang dilihat mutakhir ini adalah kesan daripada langkah ujian saringan yang agresif dan proaktif, terutama dalam dua minggu ini.

Bagaimanapun beliau berkata bilangan kes baru boleh meningkat semula dalam dua minggu akan datang, kerana KKM masih melaksanakan pengesanan kes aktif, antaranya terhadap warga Malaysia yang pulang dari luar negara dan mereka yang tinggal di kawasan PKPD.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan berkenaan bekalan topeng muka N95 yang kian berkurang, dan berkata topeng itu untuk kakitangan KKM dan petugas barisan depan yang merawat pesakit Covid-19 di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mereka yang tidak bertugas dalam wad Covid-19 boleh menggunakan topeng muka tiga lapis, katanya lagi.

"Kita tiada masalah dengan topeng muka tiga lapis tapi dengan N95, kita perlu berjimat (dan ia) untuk mereka yang memerlukannya di wad atau ICU.

"Tetapi kalau tiada N95 sekalipun, kita boleh gunakan penutup muka dan topeng tiga lapis untuk mereka yang bekerja di klinik," katanya lagi.

Beliau turut ditanya berkenaan jika Malaysia perlu mengikut beberapa negara yang mengadakan ujian Covid-19 secara rawak.

Menurutnya, KKM sedang menimbang untuk melakukan kajian di zon merah untuk melihat seramai mana penduduk di sana yang memiliki antibodi, yang akan terbentuk sebaik sahaja individu terdedah kepada virus itu.

"Kita nak tahu berapa ramai di zon merah yang telah dijangkiti tetapi tak dikesan (setakat ini).

"Mungkin ini satu kajian yang baik dan boleh dipertimbangkan. Ujian ini akan menggunakan kit ujian antibodi, tetapi ia bukan untuk diagnosis. Ia untuk tahu berapa ramai dalam suatu komuniti yang telah dijangkiti tetapi tidak dikesan," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS