Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rantau APEC dijangka hilang pengeluaran AS$2.1 trilion
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Pertumbuhan rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka menurun sebanyak 2.7 peratus tahun ini, disebabkan oleh kerugian pengeluaran diunjurkan sebanyak AS$ 2.1 trilion berbanding dengan pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019, berikutan kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid -19.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata ia merupakan penurunan paling ketara sejak kadar pertumbuhan hampir sifar dicatatkan pada 2009 semasa krisis kewangan global.

"Ini diburukkan lagi dengan tambahan 23 juta orang menganggur pada 2020. Rantau APEC berada di barisan depan untuk menghadapi cabaran ini kerana negara anggota adalah antara yang pertama dan paling teruk terjejas oleh pandemik itu, "katanya dalam taklimat dasar baharu oleh Unit Sokongan Dasar APEC.

Bertajuk "APEC in the Epicenter of Covid-19", taklimat dasar itu menghuraikan kesan pandemik yang luas dan tidak terkawal terhadap kehidupan orang ramai dan perniagaan kecil, yang menyumbang 97 peratus daripada semua firma di rantau ini.

Menurut laporan itu, krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah menjejaskan lebih dua juta orang di seluruh dunia, dengan 40 peratus daripadanya dari rantau APEC.

Bagaimanapun, taklimat dasar itu menjangkakan ekonomi akan pulih pada tahun 2021, dengan rantau APEC dijangka tumbuh sebanyak 6.3 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi global yang diunjurkan sebanyak 5.8 peratus.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Denis Hew berkata pemulihan itu akan bergantung kepada keberkesanan mekanisme pencegahan oleh negara anggota untuk mengelakkan gelombang pandemik yang berlanjutan pada akhir tahun ini.

"Kejutan yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap ekonomi global memerlukan respons yang selaras oleh rantau ini terhadap pemulihan sosioekonomi, termasuk sokongan yang lebih besar untuk sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan perlindungan sosial," katanya.

Taklimat dasar itu juga mengesyorkan agar anggota APEC berusaha untuk memastikan bekalan barang dan makanan perubatan tidak terjejas, termasuk menghapuskan langkah-langkah yang menyekat perdagangan pada barang-barang penting untuk membantu menangani krisis dan pemulihan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS