Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyampai berita RTM, Farit Ismeth meninggal dunia
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 1:39 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Pembaca berita terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM), Farit Ismeth Emir, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor pagi tadi.

Berita dukacita itu dimaklumkan oleh anaknya, Farzwa De-Attaher Emir atau lebih dikenali sebagai DJ Fuzz.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah dalam kalangan warga RTM meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi tadi.

"Farit Ismeth Emir baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

"Allahyarham dikenali sebagai Pak Ngah dalam kalangan warga RTM merupakan individu yang penting dan sudah tentu beliau akan dirindui," tulis anaknya dalam satu hantaran di media sosial pagi tadi.

Bapa saudaranya Moehamed Izat Emir ketika dihubungi mengesahkan kematian ikon penyampai berita RTM itu.

"Ya betul baru tadi jam 11.10 pagi," katanya ketika hubungi Malaysiakini.

Farid Ismeth Emir, 66, merupakan penyampai berita veteran di stesen penyiaran awam milik kerajaan itu memiliki tujuh orang cahaya mata.

Sementara itu, RTM turut memaklumkan mereka kehilangan sebutir permata yang cukup berharga buat stesen berkenaan.

"Dukacita dimaklumkan kami telah kehilangan sebutir permata hari ini. Farit Ismeth Emir, pembaca berita RTM atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah di kalangan warga kerja RTM telah menghembuskan nafas terakhir pagi ini.

"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga dan semoga rohnya di tempatkan di kalangan yang beriman...in shaa Allah, amin YRA," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS