Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk pedalaman di Sarawak sukar dapatkan BPN
Diterbitkan:  Apr 19, 2020 11:51 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19, kerajaan melancarkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun, sesetengah penduduk luar bandar, mereka sukar mendapatkan bantuan itu.

Bagi sesetengah penduduk di pedalaman Sarawak, mendapatkan bantuan tunai antara RM500 hingga RM1,600 tidak semudah berjalan 15 minit ke bank.

Malah, bandar terdekat pun tidak mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kata Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit.

"ATM tidak tersedia di bandar kecil seperti Sungai Asap dan Pakan, atau di bandar terdekat dari kampung atau rumah panjang.

"Oleh itu, mustahil bagi penerima BPN yang sepatutnya mengeluarkan wang tunai untuk membeli makanan harian mereka kerana PKP menyekat pergerakan antara daerah di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abun Sui berkata, tinjauan menunjukkan bahawa banyak penerima yang berkelayakan belum menerima bantuan wang tunai.

"Di Lawas, tinjauan terhadap lebih dari 100 keluarga B40 menunjukkan bahawa lebih daripada 52 peratus keluarga belum menerima bantuan BPN.

"Di Bintulu, tinjauan terhadap 850 keluarga B40 mendedahkan bahawa lebih daripada 60 peratus penerima yang layak belum menerima BPN.

"Di Belaga, tinjauan terhadap 105 keluarga B40 menunjukkan bahawa hampir 70 peratus belum menerima BPN," katanya.

Dia menambah bahawa ada masyarakat luar bandar yang tidak dapat menanggung kos pengangkutan untuk ke bank.

Abun Sui justeru meminta kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengesan keluarga berkenaan dan memberikan bantuan langsung.

"Sokong pasukan Jabatan Kebajikan untuk meninjau setiap daerah dengan segera dan untuk menilai komuniti yang paling memerlukan sokongan dengan memberi tumpuan kepada orang tua, orang kurang upaya, ibu tunggal dan keluarga miskin dengan anak kecil," katanya, sambil menambah bahawa ia juga dapat dijadikan landasan menyebarkan kesedaran tentang Covid- 19.

Abun Sui juga mendesak agar kerajaan tidak menggunakan pendaftaran dalam talian untuk komuniti tersebut mendapatkan bantuan kerana mereka mungkin tidak mempunyai akses internet.

Dia mengatakan bahawa kerajaan harus bekerjasama dengan bank untuk memberikan perkhidmatan pengeluaran wang semasa PKP kepada penduduk luar bandar.

Malaysia menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac yang mewajibkan perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting ditutup sementara orang ramai tidak boleh meninggalkan kediaman tanpa alasan munasabah.

Langkah itu, yang bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 yang telah menyebabkan sebahagian besar ekonomi negara terhenti.

Sehingga tengah hari ini, Malaysia mencatatkan 5,389 kes Covid-19 dengan 89 kematian. Seramai 3,197 telah pulih sementara 2,103 orang lagi masih dalam rawatan.

PKP dijadualkan berakhir pada 28 April jika tidak dilanjutkan buat kali ketiga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS