Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Sarung tangan timbulkan 'rasa selamat palsu'

Pemakaian sarung tangan (pembedahan) oleh orang awam bertujuan mengelak jangkitan Covid-19 adalah tidak disarankan kerana boleh mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

MMA dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata pemakaian sarung tangan itu hanya akan menimbulkan "rasa selamat yang palsu" sehingga pengguna mengabaikan langkah-langkah keselamatan lain.

"Pemakaian sarung tangan dengan cara tidak tepat juga boleh memindahkan virus daripada satu permukaan ke permukaan yang lain, menjurus ke arah peningkatan risiko jangkitan.

"Sekiranya sarung tangan ditanggalkan dengan cara yang salah, pemakai turut terdedah kepada jangkitan.

"Pemakaian sarung tangan surgical seharusnya dibataskan kepada bidang kerja tertentu dalam lingkungan yang dikawal rapi, seperti prosedur klinikal dengan mengikut protokol kawalan penyakit berjangkit," jelas kenyataan tersebut.

Tambah MMA, daripada memakai sarung tangan yang didakwa untuk perlindungan, masyarakat sebaiknya mengutamakan kekerapan mencuci tangan dengan sabun, membersihkan diri secara berkala dan mengamalkan penjarakan seperti yang sering dinasihatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Wajib cuci tangan

Kenyataan MMA itu sebagai respon kepada Malaysiakini susulan video promosi yang didakwa dihasilkan oleh pengeluar sarung tangan tempatan yang mempromosikan amalan bersalam dengan memakai sarung tangan tersebut.

Bagaimanapun video berdurasi satu minit 11 saat yang dilihat Malaysiakini itu telah dikeluarkan daripada akaun YouTube syarikat berkenaan, yang mana sumber mendakwa ia pertama kali dikongsi beberapa hari yang lalu.

MMA dalam pernyataannya tidak menyelar pihak yang memuat naik video tersebut, malah menghargai tindakan pantas yang diambil dengan memadam video berkenaan daripada dirujuk oleh orang ramai.

"Dalam mempertahankan praktik penjarakan sosial, kami ingin mengajak masyarakat untuk menggunakan ucapan 'Salam Malaysia' (isyarat meletakkan tangan di dada) buat masa ini dan bukannya berjabat tangan," jelas MMA.

Sementara itu, anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Dr Christopher Lee berkata, sarung tangan, walaupun berkesan untuk menjaga kebersihan tangan jika tidak dipakai dengan betul, ia tetap akan tercemar dan mencemari.

"Jadi jika kita menyentuh wajah kita dengan tangan sarung tangan yang tercemar, kesannya sama dengan tangan yang tercemar.

"Oleh itu, kita harus menjaga sarung tangan daripada menyentuh permukaan lain yang kotor, seperti tangan tanpa sarung," jelasnya.

Tambahnya lagi, sarung tangan juga boleh mencemarkan tangan apabila seseorang menanggalkannya dalam keadaan kotor atau terpakai.

"Ada teknik melakukannya (tanggal) dengan selamat dan kita wajib mencuci tangan setelah menanggalkan sarung tangan kita," ujarnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS