Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Nyahkan pendidikan lapuk berasaskan peperiksaan

ULASAN | Ketika China pertama kali melaporkan kes berkaitan radang paru-paru (pneumonia) yang muncul di Wuhan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 31 Disember 2019, ia tidak begitu mendapat perhatian dunia.

Malahan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain juga tidak menampakkan keprihatinan mahupun kegusaran dalam mendepaninya.

Besar kemungkinan kerana ia berlaku di China atau lebih tepat lagi di Wuhan yang hanyalah melibatkan seramai 59 orang daripada 19 juta populasinya, ditambahkan pula dengan tiadanya kes kematian yang dilaporkan.

Berlainan dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS-CoV) yang pertama kali dikesan di Guandong, China pada November 2002 dan merebak kepada hampir 26 buah negara dengan jumlah kes mencecah kepada 8,098 dan meragut nyawa 774 orang.

Namun keadaan kini adalah berbeza, apabila pandemik yang dikenali sebagai Covid-19 yang tidak begitu diendahkan kehadirannya di peringkat awal telah “menjelajahi” hampir ke seluruh dunia.

Sehingga kini terdapat hampir 2,184,714 kes Covid-19 dengan jumlah kematian mencecah 146,898 orang di seluruh dunia. Situasi semasa memperlihatkan negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat yang pada mulanya tidak begitu mempedulikan “virus kematian” ini mendahului dengan sejumlah 678,210 kes dan telah mengakibatkan kehilangan nyawa seramai 34,641 orang.

Manakala bagi negara kita Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 5,182 dengan jumlah kematian seramai 84 orang. Pandemik ini sesungguhnya telah mengubah kebiasaan yang menjadi amalan ramai sehingga memerlukan kita mengadaptasi kepada “normal baru”.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

Begitu juga halnya yang membabitkan aspek pendidikan negara sehingga menyaksikan pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT 3) bagi tahun semasa.

Pembelajaran secara elektronik

Semuanya bukanlah norma semasa tetapi perlu diambil demi menyesuaikan dengan situasi masa kini. Begitu juga halnya dengan “terjunan” ke arah pembelajaran secara elektronik (e-Learning) adalah perlu walaupun terdapat kekangan- kekangannya.

Ternyata semua keputusan yang melibatkan pendidikan rendah, menengah hatta sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi bukanlah berasaskan keputusan popular atau untuk memberikan populariti kepada mana-mana pihak.

Asas yang paling utama adalah untuk memastikan kelangsungan dan keselamatan rakyat khususnya anak-anak kita.

Berhadapan dengan pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan atau dijadikan sebagai “trial & error”. 

Perlu ditegaskan kepada pihak yang mungkin terlupa iaitu dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 dan hanya akan berakhir pada 28 April ini, telah banyak mengubah corak kehidupan semasa serta memberikan kesan yang pelbagai kepada rakyat.

Kita tidak perlu terlalu mementingkan diri dengan mencuba dan menunggu keputusannya lebih-lebih lagi membabitkan aspek pendidikan. 

Pentaksiran dan penilaian pelajar

Terdapat berbagai jenis pentaksiran dan penilaian yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran di peringkat rendah dan menengah yang boleh diadaptasikan tanpa menjurus semata-mata ke arah yang berasaskan kepada ujian.

Umpamanya bagi UPSR ia adalah untuk menentukan kepada kelangsungan para pelajar yang akan memasuki tingkatan satu bagi sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kelak boleh diadakan satu peperiksaan khas yang akan memberikan peluang kepada mereka dalam menempatkan diri sama ada di sekolah harian ataupun SBP dan MRSM.

Begitu juga yang melibatkan PT3 yang bakal menjurus kepada perletakan anak-anak ini mengikut bidang keutamaan yang melibatkan sains tulen mahupun sains sosial.

Sebagaimana yang dinyatakan di permulaan penulisan ini, “terjunan” ke arah e-learning bukanlah kehendak semua, tetapi melihatkan kepada keperluan semasa ia adalah antara opsyen yang terbaik. 

Tetapi timbul satu lagi “kedangkalan” sesetengah pihak yang mentafsir pembelajaran secara “online” ini hanyalah satu mod sahaja iaitu yang bersifat “segerak” atau Synchronous yang melibatkan interaksi secara langsung pada satu ketika.

Ia adalah satu yang lurus bendul dan sekali gus menidakkan pembelajaran secara asynchronous atau dikenali juga secara “Tidak Segerak”.

Sepanjang tempoh PKP berlangsung, ia telah menyebabkan hampir semua penduduk di negara ini terikat kepada ketetapan yang telah diambil oleh pihak kerajaan. Dalam masa yang sama terma “Bekerja Dari Rumah” atau Work From Home menjadi satu lagi normal baru.

Pelajar luar bandar

Tetapi persoalannya ialah adakah ia menempati atau sesuai bagi semua jenis pekerjaan? Bagi mereka kebanyakannya tinggal di luar bandar atau pedalaman sememangnya dilabelkan sebagai zon hijau tetapi apakah mereka ini boleh bekerja dalam jangka masa terdekat.

Bagaimana dengan nasib penanam padi, penoreh getah, pengait kelapa sawit, penjaja dan penjual makanan umpamanya. Kita perlu untuk lebih sensitif terhadap kitaran serta amalan ekonomi pasca Covid-19 yang sudah tentu memberikan kesan kepada profesion yang berbeza kelak.

Kebanyakan daripada mereka inilah yang anak-anaknya turut terkesan bukan hanya dari sudut ekonomi tetapi aspek pendidikan. 

Satu isu yang masih tidak dapat diatasi ialah yang membabitkan kadar relatif jurang digital atau digital divide iaitu mereka yang memiliki capaian maklumat dan yang tidak memiliki capaian maklumat disebabkan oleh perbezaan kadar kepantasan Internet.

Terma One size fits all memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan bukanlah sesuatu yang boleh diungkapkan secara harafiah begitu sahaja. Dalam keadaan masa kini kepentingan dan keselamatan anak-anak adalah lebih utama khususnya dalam mendepani Covid-19

Kefahaman bahawa e-learning di negara telah mencapai satu tahap yang membolehkan ia dilangsungkan tanpa sebarang masalah juga memerlukan audit yang menyeluruh.

Ia bukan hanya berkisarkan aspek infrastruktur semata-mata tetapi juga melibatkan infostruktur, latar keupayaan ekonomi serta tahap kesediaan pihak-pihak yang terlibat dalam persekitaran elearning itu sendiri.

Berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini memerlukan kita untuk menerima normal baru dan nyahkan kemandiran amalan pendidikan lapuk berasaskan peperiksaan semata-mata.

Hakikatnya warga pendidik secara keseluruhannya telahpun begitu banyak berkorban dalam memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran anak bangsa di Malaysia!


MOHD AMIRUL AKHBAR adalah tenaga akademik di Universiti Teknologi Mara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS