story images
story images

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu berhenti menuding jari menyalahkan PH yang didakwanya gagal membendung kluster jangkitan himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas timbalannya Dr Lee Boon Chye berkata sekarang bukan masa menyalahkan pihak lain mengenai kluster Tabligh yang menjadi punca kepada gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Dzulkefly berkata Adham perlu menjadi teraju Kementerian Kesihatan.

"Menghadapi wabak serius ini, negara ingin melihat menteri menjadi peneraju dan menyediakan kepemimpinan strategik yang dapat melengkapkan peranan yang diambil oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah)," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Dzulkefly menteri antaranya dapat membantu memanfaatkan kepakaran pakar kesihatan awam seperti pakar epidemiologi dan pakar penyakit berjangkit, sehingga kerajaan mendapat hasil yang lebih baik dalam menangani Covid-19.

Menteri jangan lencong

Katanya lagi, Adham juga perlu menumpukan usaha mengatasi tunggakan ujian Covid-19 dan meneroka penggunaan kepintaran buatan (AI) untuk membantu ujian besar-besaran dan memantau jangkitan masyarakat, serta menyelaraskan usaha supaya memastikan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) yang mencukupi kepada barisan hadapan.

Selain itu, menurut Dr Dzulkefly, menteri kesihatan perlu memastikan semua orang mematuhi perintah kawalan pergerakan, sementara juga memikirkan strategi untuk membantu meringankan beban negara daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) ini yang menutup sebahagian negara.

"Menteri tidak usah melencong daripada hal-hal utama seperti memastikan pematuhan MCO yang ketat, termasuk mereka yang berada dalam kerajaan, dengan tidak habis-habis mengungkit isu yang sudah menjadi ketentuan," katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dikritik kerana disyaki melanggar PKP selepas menjamu selera secara berkumpulan di sebuah sekolah tahfiz di Lenggong, Perak semalam.

Pihak polis memaklumkan petang tadi telah mengambil keterangan Noor Azmi mengenai dakwaan tersebut.

Malaysiakini sudah menghubungi Noor Azmi, bagi mendapatkan ulasan dan sedang menunggu maklum balas.

Dzulkefly berkata jika Adham berkeras mahu menyalahkan pentadbiran PH terhadap kluster jangkitan Sri Petaling, beliau perlu sedar bahawa kelulusan perhimpunan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, bukan Kementerian Kesihatan.

Ketika pentadbiran PH, Muhyiddin menjadi menteri dalam negeri.

Sewaktu ketika sesi telesidang dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang dimuat naik di Facebook awal hari ini, Adham berkata PH "gagal membendung" kluster jangkitan Tabligh.

Perhimpunan tabligh di Sri Petaling diadakan dari 27 Februari hingga 3 Mac.

Gerakan menyingkirkan kerajaan PH bermula pada 23 Februari yang runtuh pada hari keesokannya. 

Bermula 24 hingga 29 Februari, Malaysia dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri sementara. Negara tidak ada kerajaan sepanjang tempoh itu.

Muhyiddin, yang membawa Bersatu keluar daripada PH untuk membentuk gabungan dengan pembangkang yang kemudiannya dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN), mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Kabinet kerajaan baru, termasuk menteri kesihatan, hanya mengangkat sumpah pada 10 Mac.

Bekas timbalan menteri kesihatan Lee pula mempersoalkan apakah komen Adham sebenarnya adalah kritikan tersirat terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang sudah lama berkhidmat, mengawasi respons Covid-19 sementara ketiadaan parti pemerintah mentadbir kerajaan.

"Apakah beliau menyalahkan Dr Noor Hisham? Adakah beliau bermaksud ketua pengarah Kementerian Kesihatan tidak buat kerja? [...]

"Saya sarankan beliau (Adham) supaya menghentikan permainan menyalahkan orang lain ini dan pergi membuat kerja. Rakyat tidak berminat kepada beliau berkata siapa yang perlu bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kluster Sri Petaling, juga dikenal sebagai "kelompok jangkitan Tabligh" menyumbang lebih daripada 36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes setakat jam 12 tengah hari ini.

Adham berkata jika ia dapat dibendung, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan yang kecil.

"Jika kluster Tabligh dapat dihalang, sebenarnya gelombang kedua tidak akan berlaku. Kita mungkin ada kluster kecil sahaja," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS