Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima ditahan didakwa tipu untuk lepasi pemeriksaan PKP

Cubaan lima individu untuk melepaskan diri daripada ditahan pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan alasan mereka ‘sukarelawan’ tidak berjaya apabila perkara itu dapat dihidu pihak polis.

Empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Ibrahim, Labis, kira-kira 8.45 malam pada Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kelima-kelima mereka mendakwa sebagai sukarelawan yang baru sahaja selesai menjalankan kerja amal penyemburan nyahkuman di Pekan Labis.

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan terbabit didapati tidak membuat sebarang pemakluman atau diberikan kebenaran oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Daerah Labis untuk menjalankan aktiviti berkenaan dan tidak dilengkapi Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

“Berikutan penahanan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020.

“Semua suspek diberi jaminan polis pada semalam (17 April) manakala kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor esok (19 April),” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Ayob Khan menegaskan polis tidak menghalang sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan diri dalam membantu kerajaan menangani wabak Covid-19, namun, tindakan mereka haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan yang dibenarkan.

“Ini supaya ia tidak mengelirukan dan menimbulkan salah faham kepada masyarakat serta menyulitkan pihak penguat kuasa yang menjalankan penugasan di lapangan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS