Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat penerbangan perlu patuhi SOP kalau pun PKP tamat 28 Apr

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ditamatkan pada 28 April, syarikat penerbangan harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yang akan ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menegaskan, setiap operasi penerbangan tertakluk kepada kebenaran kerajaan, walaupun kini iklan penjualan tiket penerbangan telah diwar-warkan.

“Berkaitan iklan syarikat penerbangan untuk tempoh akan datang ini, saya harap mana-mana penerbangan hanya akan beroperasi, apabila dibenarkan kerajaan.

“Walaupun mereka menjual tiket, operasi mereka ditentukan kerajaan. Kalau PKP tamat sekali pun, ada SOP yang kita gunakan. 

"Katalah PKP tamat, tidak bermakna esok boleh bebas seperti biasa. Ada SOP tertentu diperkenalkan kerajaan.

“Kalau ada syarikat yang menjual tiket pada tarikh itu (sehari selepas PKP), dan kerajaan tidak benarkan, maka mereka tidak mendapat kebenaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Beliau ditanya mengenai terdapat syarikat penerbangan yang telah menjual tiket penerbangan, dengan pelbagai tawaran istimewa bermula 29 April ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penerbangan domestik untuk Semenanjung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak beroperasi, manakala bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak pula dijadualkan seminggu sekali, seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Penerbangan domestik Semenanjung masih dibenarkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang melalui perkhidmatan Firefly. Semalam seramai 479 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

“Bagi warga tempatan yang pulang ke Sabah dan Sarawak, mereka akan dikuarantin sejurus tiba di Sabah dan Sarawak seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata polisi kerajaan berhubung pergerakan antara negeri masih kekal sama, yang mana pergerakan antara negeri tidak dibenarkan, kecuali mendapat surat kebenaran daripada pihak polis.

Jelasnya, pergerakan antara negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan, yang mana surat kebenaran ini boleh diminta dari balai polis yang berdekatan.

“ Mereka yang terpaksa melakukan perjalanan, sama ada melalui pengangkutan darat dan udara, hendaklah mengemukakan surat kebenaran polis,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS