Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar perubatan China tiba untuk bantu KKM
Diterbitkan:  Apr 18, 2020 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Pasukan pakar perunding perubatan yang dihantar oleh kerajaan China telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari ini bagi membantu Malaysia mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketibaan pengamal perubatan atas jemputan kerajaan Malaysia itu disambut Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bai berkata kedatangan pasukan perubatan itu sekali lagi melambangkan persahabatan yang hebat antara Malaysia dan China.

Jelasnya, Malaysia telah memberi sokongan kepada China ketika negara itu berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

"Virus tidak mengenal sempadan, menjadikan ini pertempuran bagi seluruh umat manusia. Kita perlu bersatu untuk memerangi virus dengan berkesan.

"Situasi Covid-19 di China kini terkawal. China sejak itu memberikan sokongan kepada negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia dengan berkongsi pengalaman mereka, menyediakan bekalan dan bantuan lain.

"Pasukan pakar diatur oleh Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, dan terdiri daripada lapan individu pakar dalam bidang yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Kedutaan China di Malaysia.

Malaysia kini dalam fasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Sehingga kini Malaysia mencatat 5,251 kes positif Covid-19 dan daripada jumlah itu 2,967 kes atau 56.5 peratus telah pun sembuh.

Dalam pada itu Bai berkata pakar perubatan yang dihantar kerajaan China membabitkan pakar dalam bidang seperti pernafasan, rawatan intensif, psikiatri, penyakit berkangkit dan virologi.

Jelasnya, sebilangan mereka telah bekerjasama dalam proses pencegahan Covid-19 di Hubei, China.

"Pasukan ini akan berada di Malaysia selama dua minggu di mana mereka juga akan melakukan lawatan ke Sabah dan Sarawak untuk berkongsi kepakaran mereka.

"KKM dan kakitangan perubatan dari seluruh Malaysia akan mendapat manfaat melalui pertukaran ini.

"Kami mempunyai keyakinan penuh dalam perjuangan Malaysia menentang Covid-19 dan kami berharap Malaysia akan memenangi pertarungan ini tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Dr Li Jun yang mengetuai kumpulan itu berasa sangat tersentuh dengan sambutan yang diberikan oleh Malaysia.

Katanya, beliau dan rakan-rakannya akan membuat yang terbaik bagi membantu pasukan Malaysia membendung pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS