Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mendakwa kerajaan PH sebelum ini telah gagal membendung kluster himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur, yang menjadi punca kepada gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Adham berkata jika ia dapat dibendung, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan yang kecil.
"Pada 10 Mac, ada kluster baru yang muncul, yang kerajaan sebelum ini tidak dapat bendung iaitu kluster Tabligh.
"Ia (himpunan di Masjid Sri Petaling) berlaku daripada 27 Februari hingga 3 Mac. Ia sungguh besar, sehingga hari ini, kita tidak dapat menghentikan (sepenuhnya) penularannya. Masih ada kes-kes daripada kluster ini yang telah menular sehingga generasi kelima.
"Jika kluster Tabligh dapat dihalang, sebenarnya gelombang kedua tidak akan berlaku. Kita mungkin ada kluster kecil sahaja," katanya ketika sesi telesidang dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang dimuat naik di Facebook.
Gerakan menyingkirkan kerajaan PH bermula pada 23 Februari.
Bermula 24 hingga 29 Februari, Malaysia dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri sementara. Negara tiada kerajaan sepanjang tempoh itu.
Muhyiddin Yassin, yang membawa Bersatu keluar daripada PH untuk membentuk gabungan dengan pembangkang yang kemudiannya dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN), mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.
Kabinet kerajaan baru, termasuk menteri kesihatan, hanya mengangkat sumpah pada 10 Mac.
Semalam, Pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram turut menyentuh krisis politik tersebut dan kaitannya dengan Covid-19, dengan berkata ia menyebabkan negara "kehilangan tiga minggu" dalam usaha menanganinya.
"Saya ingin menekankan bahawa Kementerian Kesihatan sudah mula bercakap mengenai ujian pada 3 Januari tahun ini. Kita (Malaysia) benar-benar cepat (dalam bertindak membendung Covid-19).
"Kita hilang (sekurang-kurang 3 minggu) kerana ketidakpastian dan kekurangan kepemimpinan (ekoran krisis itu)...Apa sahaja kemajuan yang kita ada dalam tindakan awal pada Januari sebahagian besarnya hilang pada minggu-minggu ini," kata Jomo yang merupakan bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan PH.
PKP tunjuk hasil
Ketika telesidang itu, Zahid beberapa kali mengucapkan tahniah kepada Adham atas pencapaian Kementerian Kesihatan dalam membendung Covid-19 setakat ini.
Adham turut mengongsikan komunikasinya dengan sejumlah pemimpin dunia berkenaan pandemik itu.
"Saya yakin apa yang saya buat telah pun diiktiraf oleh dunia.
"Saya buat telesidang dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), saya buat (telesidang) secara langsung dengan menteri kesihatan China, Singapura dan menteri-menteri Asean serta Asean+3, iaitu Korea Selatan, Jepun dan China)," katanya.
Adham juga berkata kira-kira 270,000 petugas barisan depan Kementerian Kesihatan, yang digerakkannya bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, akan terus melangkah ke hadapan dalam menangani Covid-19.
Katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) dilihat menunjukkan hasil dan kadar kes sembuh di Malaysia, iaitu 56 peratus, lebih tinggi daripada kadar sembuh dunia iaitu 30 peratus.
Ketika telesidang itu, Zahid turut menggesa Adham agar memastikan kawasan Parlimen pembangkang turut menerima bantuan berkaitan Covid-19.
Adham berkata beliau setuju dan kerajaan PN sentiasa sedia membantu.
Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Ia kini masuk fasa ketiga yang dijadual berakhir pada 28 Mac ini.
Setakat tengah hari semalam, Malaysia merekodkan 5,251 kes Covid-19 dengan 86 kematian. Sejumlah 2,967 pesakit pula telah sembuh manakala 2,198 lagi masih dalam rawatan.