Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Lahad Datu buru lelaki lari elak dikuarantin

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Filipina yang melarikan diri apabila diarah menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Felda Residence Sahabat 16 dekat Lahad Datu semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata lelaki bernama Jul yang berusia 30 tahun itu melarikan diri selepas membuat pemeriksaan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Felda Sahabat pada 9 pagi.

"Laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh staf klinik kesihatan berkenaan pada 9.25 malam tadi.

"Difahamkan lelaki berkenaan hadir bersama isterinya ke klinik itu dan sebaik sampel ujian saringan selesai diambil, lelaki itu diarahkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) untuk dimasukkan ke pusat kuarantin namun semasa proses menguruskan kemasukannya ke pusat kuarantin, lelaki itu dilaporkan melarikan diri," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis cuba menjejakinya dengan memeriksa tempat kediaman pasangan itu namun difahamkan yang dia telah melarikan diri bersama isterinya.

Sehubungan itu, Nasri meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika mengetahui di mana lelaki tersebut berada dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus di talian 014-5907309.

Katanya kes disiasat mengikut 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342)

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS