mk-logo
Berita
Khaled: Kalau di negara lain, menteri langgar PKP dah letak jawatan
Diterbitkan:  Apr 18, 2020 2:23 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2020 2:47 PM

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin membidas tindakan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali yang disifatkan tidak menunjukkan teladan baik dengan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, jika di negara lain pemimpin kerajaan yang melanggar peraturan sedemikian rupa telah bertindak meletak jawatan.

"Bukan sebarang timbalan menteri tetapi timbalan menteri kesihatan, tidak menunjukkan contoh teladan yang baik dalam masa PKP ketika ini.

"Di negara lain seperti New Zealand, menteri kesihatannya letak jawatan kerana melanggar peraturan 'lockdown', begitu juga orang awam di negara masing-masing melahirkan kemarahan kepada menteri perumahan UK (United Kingdom) dan menteri komunikasi South Afrika (Afrika Selatan) atas sebab yang sama.

"Kita tidak mahu ada peraturan-peraturan yang berbeza, kepimpinan mesti tunjukkan tauladan," tulis beliau dalam satu hantaran di laman sosial Instagramnya, hari ini.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan New Zealand David Clark sebelum ini meletakkan jawatan selepas mengaku melanggah perintah berkurung apabila membawa keluarganya ke pantai.

Meskipun menolak peletakan jawatan itu kerana Clark sedang menerajui usaha membendung Covid-19 di negaranya, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden memecat Clark daripada jawatan menteri kewangan bersekutu dan meletakkannya pada kedudukan bawah dalam senarai menteri kabinet.

Sementara itu, Khaled turut memuat naik gambar Noor Azmi yang dilihat secara berkumpulan menikmati jamuan bersama exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria di sebuah program.

Terdahulu tular di media sosial gambar membabitkan dua pemimpin politik itu dipercayai menikmati makanan tengah hari bersama rombongannya di sebuah pusat tahfiz di Lenggong semalam.

Gambar yang tular itu menerima kecaman netizen yang menyifatkan tindakan itu jelas melanggar peraturan PKP.

Malaysiakini sudah menghubungi Noor Azmi, bagi mendapatkan ulasan dan sedang menunggu maklum balas.

Menteri lain yang turut mendapat kecaman serupa adalah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengadakan pertemuan dengan bekas menteri besar Ahmad Said.

Turut mendapat kecaman, Timbalan Menteri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad yang berkujung ke rumah rakan politiknya bersama rombongan dan menikmati jamuan makan tengah hari.

Sementara itu, tindakan Noor Azmi turut mendapat perhatian Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang melahirkan kebimbangan tindakan itu yang dilihat seolah-olah mengabaikan peraturan PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS