Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan biar lautan jadi kubur buat pelarian Rohingya'
Diterbitkan:  Apr 18, 2020 1:19 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Pandemik Covid-19 tidak wajar dijadikan alasan untuk melarang bot yang membawa pelarian Rohingya daripada mendarat dan mendapatkan perlindungan, kata dua pertubuhan hak asasi manusia.

Amnesty International (AI) dan Human Rights Watch (HRW) hari ini mengkritik negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, yang enggan menerima bot yang membawa pelarian Rohingya daripada berlabuh di pesisir pantainya.

"Perlawanan menentang Covid-19 bukan alasan untuk kerajaan kerajaan wilayah (Asia Tenggara) untuk membiarkan kawasan laut sekitar mereka menjadi kubur kepada etnik Rohingya yang terdesak.

"Tanpa kerjasama segera, Asean akan berdepan krisis kemanusiaan baru di saat pandemik. Tidak dapat diterima apabila bot-bot tidak dibantu dan ada yang diusir daripada kawasan pesisir yang selamat," kata Pengarah Kanan Penyelidikan, Advokasi dan Dasar AI Clare Algar.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas tidak kurang 20 orang Rohingya dilaporkan mati selepas kapal mereka hanyut beberapa minggu selepas gagal menuju ke Malaysia.

Menurut laporan Reuters pada 16 April, yang memetik seorang pegawai pengawal pantai Bangladesh, seramai 382 orang lagi yang kebuluran berjaya diselamatkan dan akan dihantar kembali ke Myanmar.

Pada 17 April pula, Bernama melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dapat mematahkan cubaan bot yang membawa kira-kira 200 etnik Rohingya daripada memasuki kawasan perairan negara.

Langkah itu antara lain kerana dibimbangi mereka membawa wabak Covid-19. Bagaimanapun kapal TLDM KD Lekiu telah mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara.

Timbalan Pengarah (Asia) HRW Phil Robertson turut meyuarakan sentimen sama, bahawa pandemik Covid-19 bukan justifikasi untuk mendedahkan nyawa "pelarian dalam bot-bot yang sesak" kepada risiko.

"Pandemik Covid-19 hanya menambah lagi kesengsaraan etnik Rohingya di Myanmar dan di kem pelarian di Bangladesh.

"Dakwaan Malaysia bahawa mereka menyokong hak Rohingya tidak membawa makna apabila mereka mengusir pelarian yang terdesak kembali ke laut.

"Kerajaan Malaysia boleh membendung penularan wabak dan pada masa sama memastikan mereka yang menggadai nyawa di lautan diselamatkan dan diberi peluang untuk mendapatkan suaka," katanya dalam kenyataan.

Segerakan usaha menyelamat

Dalam pada itu, Algar menggesa kerajaan Malaysia dan Thailand segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat terhadap pelarian Rohingya yang masih berada di lautan pada masa ini.

"Mereka (Thailand dan Malaysia) patut segera membenarkan pelarian ini mendarat dengan selamat. Ia tidak bercanggah dengan langkah (membendung) Covid-19, seperti yang telah ditunjukkan dengan jayanya oleh Malaysia awal bulan ini," katanya lagi.

Memandangkan kerajaan Asean baru saja menunjukkan solidariti mereka dalam mendepani krisis Covid-19, kata Algar, belas ihsan patut turut diberikan kepada pelarian Rohingya yang kini masih di lautan mencari perlindungan.


Abim desak masyarakat antarabangsa bantu etnik Rohingya

Laporan: Bot Rohingya ke Malaysia karam, 14 lemas


Algar pula membangkitkan undang-undang antarabangsa berkenaan langkah keselamatan awam yang perlu sepadan, tiada diskriminasi dan berdasarkan bukti saintifik.

"Mengenakan arahan kuarantin kepada mereka yang baru tiba mungkin wajar. Tetapi pandemik ini tidak menjustifikasikan dasar menolak bot-bot (yang membawa pelarian), menafikan hak untuk hidup kepada mereka yang menaikinya," katanya.

Beliau juga berkata langkah itu bertentangan dengan tanggungjawab antarabangsa untuk memberikan akses suaka dan tidak mengembalikan mana-mana kumpulan ke tempat di mana mereka berdepan risiko penindasan dan layanan teruk.

Etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar dan terdapat banyak laporan berkenaan penindasan terhadap mereka oleh kerajaan negara itu.

Myanmar menafikan dakwaan tersebut tetapi berkata kumpulan itu bukan etnik pribumi, sebaliknya berhijrah dari Asia Selatan.

Terdapat lebih satu juta etnik Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh, majoriti mereka dihalau dari Myanmar setelah tindakan keras tentera susulan pemberontakan pada 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS