Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertembungan fahaman melatari isu jawatan mufti WP

Polemik mengenai siapa bakal mengisi kekosongan jawatan mufti Wilayah Persekutuan hangat dan mencuri perhatian ramai ketika kemelut wabak Covid-19 masih melanda negara.

Pada satu sisi, ada kumpulan yang disifatkan sebagai konvensional dan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan kumpulan cenderung kepada fahaman salafi Wahabi.

Di sisi lain, ada pihak yang didakwa cenderung kepada fahaman bertentangan ASWJ.

Ada beberapa nama dicadangkan untuk diangkat sebagai mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut sumber antara nama yang dikemukakan ialah pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle, dan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Kamilin Jamilin.

Nama lain yang turut dikemukakan untuk pertimbangan ialah Mursyif Pondok Sungai Durian di Kelantan, Dr Abdul Basit Abd Rahman, serta pakar kewangan Islam Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Menurut sumber, dari segi populariti nama yang teratas ialah Rozaimi dan Kamilin, namun pada masa sama. keberadaan Abdul Basit juga tidak boleh diketepikan.

"Zaharuddin agak terkebelakang sedikit kerana bidang beliau lebih kepada soal pengurusan kewangan Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Khuatir timbul kecelaruan

Katanya lagi, Rozaimi juga dilihat popular kerana dianggap sebagai anak didik Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kini dilihat dekat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dakwanya, usaha melobi kini sedang giat diatur oleh kumpulan berkenaan yang dipercayai turut digerakkan dengan sokongan seorang tokoh agamawan terkemuka dari utara tanah air.

Malah, kata sumber itu, kerja-kerja melobi jawatan mufti itu dimulakan sebaik Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai ketua kerajaan.

Menurut sumber tersebut, kumpulan yang didakwa cenderung kepada fahaman Wahabi itu mahu menguasai jawatan berkenaan sebagai langkah strategik mereka menguasai sebahagian daripada politik sekali gus memudahkan urusan mereka pada masa depan.

Langkah itu pastinya mendapat tentangan kumpulan yang satu lagi kerana mereka memang menentang penyebaran fahaman tidak selaras dengan akidah ASWJ kerana dibimbangi akan menimbulkan kecelaruan serta mengancam keharmonian Islam.

Kumpulan konvensional ini, khuatir jika individu-individu berkenaan diangkat menjadi mufti akan menyebarkan lagi fahaman Wahabi, malah akan menyekat beberapa amalan umat Islam di Malaysia.

Misalnya, bagi kumpulan pro Wahabi ini, mereka beranggapan tahlil arwah secara beramai-ramai, bacaan talkin kepada si mati, bertawasul, mengunjungi pusara pada hari raya sebagai perbuatan bidaah dan tidak menepati Islam.

Jawatan mufti Wilayah Persekutuan kosong selepas penyandangnya, Dr Zulkifli Mohamad, dilantik Muhyiddin sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Zulkifli mula menjadi mufti Wilayah Persekutuan sejak Jun 2014. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi mufti pertama yang diangkat menjadi menteri Malaysia.

Bagi kumpulan konvensional yang berpegang kepada ASWJ dan Mazhab Syafie, difahamkan beberapa nama diketengahkan untuk diteliti sebagai calon mufti.

Mohd Asri yang turut dikaitkan dengan fahaman Wahabi sebelum ini, menafikan yang beliau dan rakannya lain adalah adalah berfahaman Wahabi.

Sebaliknya mendakwa bahawa mereka hanya berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah.

Untuk rekod sesetengah negeri yang berpegang teguh kepada ASWJ seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah menyekat beberapa nama ini daripada menyampaikan ceramah agama di negeri terbabit.

Tokoh dari UUM juga ada 

Antaranya, pendakwah bebas yang terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid. Beliau bukanlah asing dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana cukup dikenali ramai dan sering bersiaran di kaca TV serta radio.

Malah, beliau juga turut dikenali kerana sering muncul dalam program-program selawat perdana yang diadakan di seluruh negara.

Sehingga semalam, Ali memperoleh lebih 30,000 tandatangan sokongan melalui petisyen dalam talian yang mahukan beliau dilantik sebagai mufti Wilayah Persekutuan.

Selain Ali, nama seorang lagi pendakwah bebas, Zamihan Mat Zin, turut disebut sebagai calon bagi jawatan berkenaan.

Zamihan yang juga kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memang terkenal dengan sikap kelantangannya.

Pada masa sama orang ramai juga tahu Zamihan merupakan seteru kepada Mohd Asri.

Semasa BN memerintah, Zamihan dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi program deradikalisasi militan.

Selain itu, pakar hadis, Khafidz Soroni, dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Asmadi Mohamed Naim serta Dr Luqman Abdullah antara nama yang turut disebut bagi jawatan itu.

Pegerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Selangor, Mohammad Syahiidd Tusiran, berkata pihaknya menolak cadangan untuk melantik mana-mana individu yang membawa fahaman Wahabi mengisi kekosongan ditinggalkan Zulkifli.

"Sebahagian besar rakyat Malaysia sebenarnya sudah memahami dengan jelas bahawa fahaman Wahabi bercanggah dengan ASWJ, bahkan beberapa negeri memfatwakan bahawa ajaran Wahabi menyeleweng daripada ASWJ.

"Justeru, pelantikan tokoh-tokoh dari aliran berkaitan dilihat bercanggah dengan undang-undang tubuh negeri dan fatwa sedia ada di negara ini.

"Oleh itu Aswaja dengan tegas menggesa pihak kerajaan untuk melantik mufti Wilayah Persekutuan daripada kalangan agamawan yang benar-benar berpegang teguh dengan akidah ASWJ demi keharmonian umat Islam sejagat," katanya.

Bagi Presiden al-Asyairah Group ASWJ Sabah, Abd Rahman Tajudin, Malaysia merupakan sebuah negara Islam beraliran ASWJ yang menjadikan akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah sebagai paksi utamanya.

Justeru, kata Abd Rahman, NGO itu menegaskan jawatan mufti Wilayah Persekutuan haruslah dilantik daripada kalangan tokoh aliran ASWJ.

"Kelestarian ASWJ di negara ini perlu dipelihara agar umat Islam tidak tergelincir ke lembah kehancuran tamadun bangsa dan negara," jelasnya.

Selain daripada pertembungan fahaman, pengganti kepada Mufti Wilayah Persekutuan ini berdepan dengan cabaran untuk meneruskan momentum yang ditinggalkan Zulkifli.

Umum mengetahui bahawa Zulkifli membawa pendekatan yang mesra dan lembut ketika menjadi mufti, malah beliau juga membawa pendekatan mesra dengan bukan Islam dan anak muda.

Orang ramai masih tidak lupa bagaimana Zulkifli menghadiahkan kek kepada jirannya yang bukan Islam ketika musim perayaan.

Begitu juga dalam mendekati anak muda, beliau dikenali sebagai penyokong Liverpool.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS