Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peserta Malaysia dikehendaki untuk kajian psikologi korona

Bagaimana tingkah laku manusia ketika penyebaran wabak Covid-19? Sekumpulan penyelidik berharap rakyat Malaysia akan menyertai usaha global dalam membantu mencari jawapannya.

Kumpulan itu juga berusaha memahami bagaimana wabak ini dan kesan ekonomi mempengaruhi kesejahteraan mental orang ramai dan bagaimana mereka mengatasi tekanan tersebut.

Sasaran mereka adalah mendapatkan 10,000 peserta di seluruh dunia untuk menjawab kaji selidik selama 20 minit - termasuk sekurang-kurangnya 1,000 dari Malaysia - dengan harapan dapat memberikan pandangan yang akan membantu para pembuat dasar di seluruh dunia memutuskan cara terbaik menangani wabak tersebut.

"Apabila kami mempunyai data, kami boleh memberi nasihat kepada kerajaan.

"Kami boleh memberikan nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan, apa yang mesti dilakukan, dan apa yang kita tidak boleh buat yang boleh membahayakan orang lain.

"Oleh itu, adalah amat penting bagi kita mendapatkan data dan membantu di masa hadapan. Lebih ramai orang menyumbang kepada kajian ini, lebih banyak kita boleh buat perubahan.

"Oleh itu, mudah-mudahan, semua orang boleh memainkan peranan kita dalam tempoh masa yang sukar ini," kata penolong profesor psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Jamilah Hanum Abdul Khaiyom, yang merupakan rakan usaha sama dalam kajian ini."

Seorang lagi rakan usaha sama, penolong profesor psikologi dari Yale-NUS College, Keng Shian-Ling mengatakan salah satu contohnya adalah untuk memahami rakyat di pelbagai negara dalam mematuhi amalan penjarakan sosial.

"Oleh itu, sangat berguna bagi kita untuk mengetahui sejauh mana tingkah laku tertentu ini menjelaskan penyebaran virus dengan adanya semua faktor lain," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara semalam.

Dijuluki sebagai Kajian Psikologi Corona (atau PsyCorona), projek ini diketuai Pontus Leander dari Universiti Groningen di Belanda dan Jocelyn Belanger di NYU Abu Dhabi, namun penyelidik di setiap negara bekerja secara bebas.

Keng dan Jamilah memberitahu Malaysiakini mereka telah mendaftar sebagai rakan usaha sama kurang dua minggu lalu, dan telah mula merekrut peserta di Malaysia awal minggu ini.

Kajian itu kini melibatkan lebih 100 penyelidik di 70 negara dan telah melepasi matlamatnya untuk merekrut lebih 10,000 peserta. 

Keng mengatakan hanya kira-kira 50 daripada mereka adalah dari Malaysia, namun berharap akan dapat merekrut lebih ramai lagi.

Tinjauan ini tersedia dalam lebih 20 bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Cina. Versi Bahasa Malaysia ditambahkan pada Selasa lalu.



Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS