Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri PN akan jadi bahan ketawa kalau...
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 7:59 PM
Dikemaskini: 11:59 AM

Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) mungkin menjadi bahan ketawa orang ramai jika berlaku pertelingkahan dalaman atau gagal menguruskan lantikan politiknya, kata Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad.

Katanya rakyat pada hari ini "terlalu cerdik" dan dapat melihat tingkah laku pemimpin kerajaan yang dianggap tidak wajar.

Misalnya, kata Iskandar, jika ada lantikan ke jawatan dalam kerajaan atau agensi kerajaan yang dibuat semata-mata atas pertimbangan politik.

"Selepas ini jika berlaku pertelingkahan dalam PN seperti zaman PH, menteri-menteri menjadi bahan gelak ketawa, atau pelantikan jawatan dalam kerajaan dan agensi kerajaan atas pertimbangan politik semata-mata, maka sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri.

"Rakyat hari ini terlalu cerdik. Tidak ada perkara yang dapat disembunyikan daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, antara isu yang menjadi buah mulut orang ramai ketika ini ialah pelantikan ahli-ahli parlimen PN ke jawatan tertinggi dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Hal itu berlaku selaras dengan pemberhentian atau penamatan pegawai-pegawai kanan lantikan PH, termasuk dalam kalangan golongan teknokrat atau profesional.

Semalam salah seorang veteran PAS, Mustafa Ali, juga membangkitkan isu yang sama.

Iskandar berkata kerajaan PN boleh diibaratkan seperti seorang askar yang berjalan di medan perang.

"Ada jalan yang selamat dan ada jalan yang bahaya kerana jelas terdapat periuk-periuk api.

"Hanya orang yang bodoh yang akan memilih jalan yang ditanam dengan periuk api.

"Tetapi kadangkala tindakan orang politik susah hendak difahami.

"Justeru jangan ada yang merasakan diri mereka kebal dengan memilih jalan yang penuh dengan bahaya," katanya yang juga bendahari PAS Pusat serta bekas exco kanan Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS