Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tuntut Muhyiddin lantik 4 pemimpin Umno Sabah
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 7:37 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Atas nama semangat Perikatan Nasional (PN) Umno hari ini menuntut agar beberapa pemimpin parti itu dari Sabah diangkat menjadi pemimpin dalam kerajaan Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan sepucuk surat ditandatangani Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dilihat Malaysiakini, parti itu misalnya menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah" tersebut.

Untuk rekod Bung Moktar ialah ahli parlimen Kinabatangan dan sedang dibicarakan - bersama isterinya, Zizie Izette Samad - atas tuduhan rasuah semasa menjadi pengerusi bukan eksekutif Felcra. 

Sabah pula kini ditadbir oleh Warisan yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Dalam surat sama, Ahmad Zahid turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, dicadang agar dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Abdul Rahman adalah bekas calon BN untuk kerusi parlimen Sepanggar yang kalah kepada calon Warisan, Mohd Aziz Jamman. Pelantikan sebagai senator juga membuka jalan untuk Abdul Rahman kembali menjadi sebahagian daripada anggota kabinet PN.

Turut disenaraikan dalam tuntutan berkneaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkang ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

"Saya mengangkat cadangan Umno Sabah sebagaimana perbincangan yang telah saya adakan bersama kepimpinan Umno Sabah.

"Saya berharap YAB Tan Sri (Muhyiddin) dapat memberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya cadangan di atas bagi memperlihatkan kebersamaan mereka dalam kerajaan PN bukan hanya diperingkat pusat tetapi khsusunya diperingkat negeri Sabah," kata surat bertarikh 16 April itu.

Umno Sabah hampir terkubur selepas ramai wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti itu selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ekoran tindakan pemimpin utamanya meninggalkan Umno, parti itu melantik Bung Mokhtar sebagai pengerusi Umno Sabah.

Bung yang memimpin Umno Sabah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan 18 Januari lalu.

Sementara itu Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan rasmi daripada Umno berhubung surat berkenaan. 

Salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii menafikan kesahihan surat tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS