Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buka atau tak? Ini dilema bengkel dan kedai ubat tradisional

Kebanyakan pengusaha bengkel kenderaan masih tidak bersedia untuk membuka kedai meskipun diberi pengecualian beroperasi pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (Fawoam) Khor Kong Siah, pihaknya berbelah bahagi kerana desakan kerajaan bahawa majikan harus menanggung kos rawatan Covid-19 jika pekerja mereka dijangkiti.

Menurut perkara 29 “garis panduan am”, majikan perlu menanggung kos rawatan pekerja dan kos disinfeksi.

“Sebahagian ahli (majikan) tidak jana pendapatan selama sebulan. Jika pesakit mereka jatuh sakit dan dirawat di hospital swasta, kos akan jadi ratusan dan ribuan (ringgit). Bagaimana mereka mampu?

“Kita dapat maklum balas dari ahli (majikan) di seluruh negara. Ramai yang takut (kesan kewangan) maka mereka tak mohon untuk pengecualian,” kata Khor ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, terdapat juga beberapa ahli mereka yang enggan memohon kerana menjangkakan perniagaan akan merosot pada tempoh PKP kerana ramai yang duduk di rumah.

Jelasnya, terdapat beberapa pengusaha bengkel yang percaya PKP akan tamat tidak lama lagi dan tiada keperluan melalui proses sukar dalam memohon pengecualian menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Khor turut mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi servis disinfeksi terhadap bengkel, yang dipercayainya akan menelan belanja ribuan ringgit.

Putrajaya mengarahkan semua premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pada tempoh PKP untuk mensanitasi premis mereka tiga kali sehari.

Sektor automotif dan bengkel antara syarikat tidak penting yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh fasa ketiga PKP, yang bermula pada 15 April dan tamat pada 28 April ini.

Manakala, premis automotif lain yang dibenarkan operasi termasuk kedai tayar, kedai jual alat ganti kenderaan, tapak pembinaan tertentu, kedai alatan (hardware), kedai barang elektrik dan dobi bukan layan diri.

Kedai ubat tradisional ‘pening kepala’

Pengamal perubatan tradisional dan komplimentari (TCM) juga antara premis dibenarkan beroperasi, bagaimanapun pihak tersebut menyifatkan syarat yang dikenakan menyukarkan tugas mereka.

Sebagai contoh, Persatuan Tabib Orthopedik Tradisional Cina Dan Akupunktur Malaysia (FCPAAM), Ng Po Kok menjelaskan bahawa pakar perubatan tradisional perlu mengambil bacaan nadi, mengurut dan memberi rawatan akupuntur.

Ini bagaimanapun tidak dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan.

“Kita tidak dibenarkan untuk menyentuh atau berkontak rapat dengan pesakit. Tiada siapa juga dibenarkan teman pesakit ke klinik, walaupun dia dalam kesakitan dan perlukan bantuan.

“Meskipun kami tidak dianggap sebagai petugas baris hadapan, tetapi kami bantu melegakan kesakitan pesakit. Tak semua mahu pergi ke hospital (pada ketika ini).

“(Keperluan kami untuk memohon ke Miti) tidak wajar kerana servis dan pekerjaan kami dibawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM). Kerajaan sepatutnya mengecualikan sektor perubatan tradisional untuk memohon lesen operasi kepada Miti,” katanya.

 Ng juga berkata, kedai makan dan klinik tidak perlu memohon kepada Miti, maka kedai ubat tradisional juga wajar berbuat demikian.

Tambahnya, kebanyakan ahli FCPAAM juga tidak memohon pengecualian beroperasi pada tempoh PKP.

“Saya sendiri tak mohon, saya lebih rela duduk rumah. Proses permohonan itu menyusahkan,” katanya.

Peraturan lain

Kata Ng lagi, persatuannya mewakili lebih 5,000 pengamal perubatan tradisional Cina dan ahli akupuntur.

Presiden Pertubuhan Perubatan Tradisional India (Peptim) S Raggupathi menjelaskan bahawa pengamal perubatan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan syarat Miti.

Jelasnya, pengamal perubatannya juga melakukan penjarakan sosial ketika memberi rawatan dan menasihat pesakit.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS