Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 600 penduduk Kampung Baru jalani ujian saringan wajib
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Lebih 600 penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur menjalani ujian saringan Covid-19 sesi pertama hari ini berikutan kawasan itu diwarta sebagai zon merah.

Ini merupakan hasil kejayaan hebahan efektif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tampil pada hari pertama ujian saringan itu di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa seterusnya empat lagi sesi ujian saringan itu sehingga 21 April ini.

Setiausaha Kehormat merangkap Pemangku Naib Yang Dipertua Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Shamsuri Suradi berkata ujian itu merupakan tindakan wajib setiap penduduk yang berada dalam kawasan Kampung Baru untuk tampil ke menjalani ujian saringan bagi tujuan pengesanan awal pandemik Covid-19.

“Ini terbukti apabila jumlah ini mengatasi sasaran iaitu 400 orang bagi hari pertama. Ujian saringan dilakukan berikutan kawasan Kampung Baru merupakan kawasan berdekatan dengan Selangor dan Malayan Mansion,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut Shamsuri, penduduk diwajibkan membuat ujian namun pesakit kronik dan pesakit tidak boleh bergerak adalah dikecualikan. Ujian saringan bermula 9 pagi itu berakhir pada jam 2 petang itu diketuai oleh Pegawai Perubatan Dr Suliana Mohamad Shuib dan Dr Aida Azlan dengan dibantu 30 petugas kesihatan KKM.

Rosni Karamah, 56, yang datang bersama enam orang anaknya berkata dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjalani saringan itu iaitu 30 minit dan memuji usaha KKM itu.

Pekerja pentadbiran, Nor Khamisah Ahmad, 27, berkata beliau mendapat maklumat mengenai ujian saringan itu melalui aplikasi whatsApp apabila dihubungi ketua kampung kawasan itu.

"Saringan ini penting kerana kawasan ini berhampiran dengan kawasan yang diwartakan dengan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) yang ada banyak kes positif, saya lega kerana adanya proses saringan secara percuma ini, harapnya saya tiada apa-apa masalah, " katanya yang berasal dari Perak.

Bagi warga emas, Shamsuri Nursham, 59, beliau menyifatkan hebahan KKM secara berkesan banyak membantu penduduk mengetahui keperluan untuk mereka disaring dan wujudnya saluran cepat untuk warga emas tanpa perlu beratur juga memudahkan beliau dan isterinya membuat saringan itu.

"Apa yang KKM lakukan ini langkah yang baik, tidak semua kami warga emas tahu mengenai tahap serius Covid-19 di kawasan kami jika tiada hebahan begini," katanya yang diberi notis supaya dikuarantin di rumah selama 14 hari sementara menunggu keputusan ujian saringan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS