Perkhidmatan Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) telah ditamatkan.
Menurut ahli parlimen DAP itu, khidmat semua pesuruhjaya lain juga dihentikan.
Ahli Parlimen Klang itu memberitahu bahawa pemberhentiannya berkuatkuasa pada 10 April lalu tetapi hanya menerima surat yang ditandatangani oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
"Sesiapa yang mengenali saya akan memahami ini bukan mengenai kehilangan jawatan yang mewah, tetapi kebimbangan mendalam bahawa semua kerja keras yang dilakukan selama lapan belas bulan terakhir mungkin akan sia-sia.
"Tindak balas segera saya terhadap pemberhentian ini adalah dengan mencuba dan menerapkan mekanisme 'semak dan imbang', yang akan memungkinkan orang ramai untuk mempertanggungjawabkan pentadbiran SPAN yang baru.
"Dan juga untuk memastikan tindakan dan keputusan mereka adalah justifikasi kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Charles seterusnya menyenaraikan inisiatif yang dilakukan dan langkah-langkah yang dilaksanakan sejak dilantik sebagai ketua SPAN pada November 2018.
"Salah satu inisiatif yang saya perjuangkan untuk memantapkan fungsi Span sebagai badan pengawal selia adalah melancarkan Kerangka Integriti dan Anti-Rasuah untuk Pemegang Lesen dan Agensi Bertauliah pada bulan September tahun lalu.
"Di bawah kerangka ini, diamanatkan bahawa syarikat bekalan air dan pembentungan harus menyimpan sekurang-kurangnya 1 peratus daripada bajet operasi mereka untuk memerangi rasuah, memperkuat integriti dan tadbir urus korporat dalam organisasi mereka," katanya.