Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Laporan media ekonomi - yang belum disahkan - mengenai kemungkinan Abdul Wahid Omar dilantik menjadi Pengerusi Bursa Malaysia Berhad menggembirakan banyak orang yang tidak tahu, dan mendukacitakan sebilangan kecil orang yang tahu.

Umumnya, bekas menteri kabinet era Najib Razak itu mendapat “review” yang positif. Malah dia sering diuar-uarkan sebagai antara eksekutif korporat bumiputera terulung.

Saya bernasib baik mengenalinya agak lama. Tetapi sebaik saja diumumkan yang dia dijadikan senator dan dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai ekonomi pada 2013, saya segera memberitahunya bahawa dia telah melakukan kesilapan kerana menerima pelantikan itu.

Dia menjawab: “National servive” (khidmat negara). Itulah alasan yang kerap saya dengar tetapi paling tidak saya yakini.

Ketika itu dia seorang presiden dan ketua pegawai eksekutif Malayan Banking Berhad.

Apa yang tidak diketahui ramai - termasuk saya sendiri - ketika itu ialah pelantikannya ada kaitan dengan “jasa” yang dia lakukan untuk Najib.

Maaf cakaplah kalau saya kata bahawa kerana “jasa” kepada Najib itulah maka Abdul Wahid mungkin tidak layak diberi tugas dan kepercayaan untuk mengepalai Bursa Malaysia.

Duit rakyat, pembayar cukai

“Jasa” Abdul Wahid kepada Najib itu membawa padah besar kepada negara. Ia ada kaitan dengan peristiwa dan perkembangan yang akhirnya membawa kepada tuduhan rasuah dan pecah amanah terhadap Najib dan kejatuhan kerajaan BN dalam pilihan raya umum 2018.

KWAP-SRC

1. Pada 2011, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) memberi pinjamam RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC) dan pada tahun berikutnya, RM2 bilion lagi, dengan dijamin oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

2. KWAP adalah badan yang diamanahkan menjaga duit pencen kakitangan awam. SRC pula merupakan syarikat bermodal RM2 yang asalnya milik 1MDB.

3. Sampai hari ini pun kita tidak tahu apa perniagaan SRC dan kegunaan duit RM4 bilion itu selain dakwaan kononnya sebanyak AS$60 juta (kira-kira RM258 juta) dilaburkan bagi membuka lombong arang batu di Mongolia – negeri Altantuya.

4. Apa yang kita tahu ialah sebanyak RM42 juta masuk ke akaun peribadi Najib dan kira-kira RM3.6 bilion dihantar ke seberang laut melalui beberapa buah anak syarikat luar pantai dan didepositkan ke dalam bank-bank persendirian seperti BSI Bank, Switzerland dan Julius Baer & Co, Hong Kong.

6. Duit inilah yang sebahagiannya dipercayai masuk ke akaun Jho Low dan sekutu-sekutunya, termasuk anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz.

7. Sehingga Oktober tahun lalu, Kementerian Kewangan membayar RM1.73 bilion kepada KWAP bagi pihak SRC. Ini adalah duit rakyat jelata dan pembayar cukai.

8. Ketika SRC meminjam daripada KWAP, Najib adalah perdana menteri merangkap menteri kewangan dan merangkap pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

9. Abdul Wahid adalah antara ahli Panel Pelaburan KWAP yang meluluskan pinjaman RM4 bilion tersebut. Orang lain termasuklah Mohammed Azlan Hashim yang baru saja dilantik semula menganggotai Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

10. Bursa Malaysia ini adalah tunggak kepada pasaran modal negara. Bursa Malaysia Berhad adalah syarikat milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Peranannya ialah menguruskan Bursa Malaysia. Serentak itu, sahamnya turut diniagakan di pasaran tersebut.

Kesimpulannya, walaupun saya kenal baik dengan Abdul Wahid dan menyanjungi idealismenya sebelum terpalit dengan politik - dan dia pula terus menunjukkan kesopanan (civility) terhadap saya - namun saya rasa cadangan untuk melantiknya bagi mempengerusikan Bursa Malaysia wajib difikirkan semula.

Apatah lagi Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, sendiri dilaporkan telah menggunakan isu tadbir urus (governance) sebagai alasan menamatkan perkhidmatan Shireen Ann Zaharah sebagai pengerusi Bursa Malaysia.

Ramai tahu bahawa Abdul Wahid dan Zafrul berkongsi latar belakang sebagai eksekutif tertinggi Malayan Banking.

Persoalannya, apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak tahu semua ini, atau ia tahu tetapi tidak peduli kerana ia mempunyai kuasa untuk menyingkir dan melantik?

Saya juga hairan dan kecewa dengan sikap majoriti pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendiamkan diri membiarkan eksekutif yang mereka sendiri lantik secara kolektif dibuang dan dianiaya.

Kalau inilah sikap dan amalan pemimpin politik Malaysia, hanya eksekutif dan ahli profesional kelas ayam saja yang bersedia dilantik ke jawatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


A KADIR JASIN merupakan tokoh wartawan dan pernah menjadi penasihat media Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan ini dipetik dari blog https://kadirjasin.blogspot.com dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS