Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Eropah, AS bayar harga mahal untuk kebebasan
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Kejayaan China dan Korea Selatan menangani penularan wabak Covid-19 banyak didorong faktor disiplin dan sikap rakyat yang patuh pada arahan kerajaan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Hal itu, katanya, berbeza dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang terlalu menjunjung kebebasan hingga menyebabkan rakyat mereka ingkar terhadap arahan kerajaan dalam usaha membendung pandemik itu.

“Kita dapati, (di negara Eropah dan AS), arahan pemerintah tak dipedulikan, mereka lakukan apa saja, kerana kepercayaan mereka bahawa mereka bangsa yang bebas, mempunyai hak sama, tak harus diberikan arahan oleh kerajaan, dan mereka tahu apa yang patut dilakukan.

“[...] Sebab itu kita dapati China dan Korea Selatan dapat tangani masalah ini dengan lebih berjaya, kerana mereka apabila diberi sesuatu arahan, rakyat akan patuh,” katanya.

Malah, kata Mahathir, ada rakyat di negara Eropah yang berpendapat masalah Covid-19 sebagai masalah negara miskin dan membangun sedangkan mereka mampu menanganinya dengan lebih berjaya kerana mempunyai kemudahan perubatan yang lebih maju.

“Kita lihat, walaupun mereka lebih maju, tapi dari segi sifat yang ada pada mereka menjadi faktor yang menyebabkan mereka tak begitu berjaya mengawal pandemik ini.

“[...] Jadi bukan kemudahan saja yang penting, tapi sikap yang ada pada rakyat, (mana) yang lebih utamakan disiplin, yang lebih patuh pada arahan, mereka yang berjaya.

“Di mana (negara) mereka yang (rasa) lebih pandai dari kerajaan, mereka tahu (anggap seolah-olah) ini bukan seperti diumumkan kerajaan, mereka menghadapi masalah,” katanya dalam sesi sembang langsung bersama pakar perunding perubatan dan paru-paru, Dr Nurul Yaqeen di Facebook, hari ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai kejayaan China dan Korea Selatan yang mencatatkan jumlah kematian yang relatif rendah berbanding negara-negara Eropah dan AS seperti Jerman, Itali dan Sepanyol.

Untuk rekod, setakat ini, AS mecatatkan kes jangkitan tertinggi Covid-19 dengan lebih 639,664 kes dan 30,985 kematian, diikuti Sepanyol (177,633 kes, 18,579 kematian), Itali (165,155 kes, 21,647 kematian) dan Jerman (130,450 kes, 3,569 kematian).

China yang merupakan punca wabak pula mencatatkan 83,402 kes dengan 3,346 kematian, manakala Korea Selatan mencatatkan 10,613 kes dengan hanya 229 kematian.

China pada 23 Januari lalu mengenakan perintah berkurung di Wuhan - bandar tercetusnya Covid-19- dengan menutup bandar itu daripada sebarang akses pengangkutan awam, air mahupun udara.

Perintah itu ditarik balik hanya selepas lebih dua bulan kemudian.

Korea Selatan pula dilaporkan membuat ujian secara meluas dan besar-besaran, serta mengguna pakai teknologi seperti aplikasi pengesanan kontak dan kecerdasan buatan (AI) dalam usahanya membendung penularan wabak itu.

Meskipun mengakui pendekatan China mungkin dianggap terlalu menghalang kebebasan dan hak asasi, kata Mahathir, sebaliknya, sikap terlalu mengutamakan kebebasan pula akan menyebabkan keadaan menjadi sukar dikawal.

“Disiplin ini memang bercanggah dengan sifat kebebasan. Disiplin bermakna kita ikut peraturan, tak langgar peraturan. Tapi bila kita punya sifat mengutamakan kebebasan, tak ada disiplin. Bila tak ada disiplin, aturan tak dipatuhi, dan kita terima akibat daripadanya.

Malah, Mahathir bersetuju dengan cadangan pengacara bahawa negara Eropah dan AS membayar satu “harga yang cukup tinggi” untuk kebebasan yang terlalu dinikmati rakyatnya.

Sedangkan, katanya, rakyat perlu mengutamakan untuk memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan tiada jangkitan baru bagi memastikan pandemik itu tamat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS