Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam berdepan Covid-19, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru agar rakyat menyesuaikan diri dengan normal baru (new normal) dalam kehidupan harian mereka.

Namun, baginya, perubahan normal memang sentiasa terjadi sejak dulu lagi dan manusia sentiasa menyesuaikan diri dengannya.

“Normal kita ini hanya untuk satu masa. Tiap-tiap masa normal kita bertukar. Kalau dahulu, tak ada telefon bimbit, sekarang kita ada, dan cara hidup kita dah berubah. Hari-hari kita telefon. Semua orang ada telefon dalam poket.

“(Ia) jadi normal. Ia memang berubah sepanjang masa,” katanya.

Namun, dalam berdepan dengan Covid-19 yang disifatkannya sebagai “sekatan luar biasa” dalam bentuk wabak yang mudah berjangkit, pengubahsuaian yang harus dilakukan oleh rakyat haruslah ke arah mengelakkan amalan yang boleh membantu penularan wabak itu.

“Jadi benda-benda yang menyebabkan berkembangnya wabak ini, yang boleh kita elak. Sepatutnya kita sesuaikan diri kita,” katanya dalam sesi sembang live bersama pakar perunding perubatan dan paru-paru, Dr Nurul Yaqeen di Facebook tadi.

Beliau menjawab soalan mengenai normal baru ekoran Covid-19, dan bagaimanakah rakyat harus menyesuaikan diri dengannya.

Bagi Mahathir, proses pemulihan pasca Covid-19 akan menjadi sangat berbeza hatta jika dibandingkan dengan proses pemulihan selepas Perang Dunia Kedua lalu, malah mengakui tidak pernah berhadapan dengan pandemik semacam itu sepanjang hidupnya.

“Kita tak pernah ada satu penyakit yang begitu mudah berjangkit sehingga ke seluruh dunia. Saya tak pernah alami pandemik macam ini. Cara hidup saya pun dah bertukar,” kata anggota Parlimen Langkawi yang kini berusia 95 tahun itu.

Katanya, penyesuaian itu harus berlaku dalam banyak hal bagi mengurangkan perhubungan fizikal rakyat, seperti acara sukan yang selalunya melibatkan pengumpulan ramai penonton, serta cara bekerja yang mungkin membuka lebih ruang kepada kaedah kerja dari rumah.

Namun, ada juga penyesuaian yang katanya akan menjurus kepada peluang yang lebih baik, seperti pendidikan dalam talian sebagai normal baru yang memungkinkan pelajar mendapat akses daripada tenaga pengajar terbaik.

Bidang perniagaan secara dalam talian sebagai normal baru juga akan membuka peluang kepada peniaga kepada pasaran lebih luas sehingga ke seluruh dunia, sekali gus membuka peluang keuntungan yang mungkin lebih baik berbanding sebelum ini, terutamanya buat peniaga di kawasan luar bandar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS