Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jakim batalkan UPKK bagi subjek bertulis
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 1:20 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memutuskan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual diadakan di seluruh negara pada 28 Sept hingga 1 Okt, dibatalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula Tahun 1 hingga Tahun 6 di peringkat rendah.

“Prestasi murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan pelbagai kaedah. Justeru, bagi tujuan ini, Jakim akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis itu,” katanya dalam satu perutusan menerusi Facebook hari ini.

Katanya, Jakim juga membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara akan dibuat berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS