Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang gesa PM kongsi butiran 'exit plan’ selepas PKP
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 12:28 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkongsi butiran "exit plan" atau rancangan seterus Malaysia selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik secara berperingkat, memandangkan terdapat tanda-tanda penularan wabak Covid-19 kini berjaya dikawal.

Lim berkata dunia harus menerima hakikat bahawa mereka harus belajar untuk hidup dengan penyakit Covid-19 selama 12 hingga 24 bulan lagi sehingga vaksin yang efektif ditemui dan boleh didapati secara meluas kerana "tidak ada negara yang dapat bertahan daripada sekatan ekonomi selama setahun apalagi dua.”

"Dengan tanda-tanda lengkung jangkitan sudah mendatar, sangat penting buat kerajaan mulai mempersiapkan strategi rancangan seterusnya selepas PKP.

"Saya minta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan siaran langsung untuk berkongsi rancangan kerajaan dengan rakyat Malaysia ketika PKP ditarik balik secara berperingkat.

"Dunia mesti melalui pengalihan ini secara berperingkat dari pelbagai bentuk perintah kawalan yang dikenakan di banyak negara untuk memungkinkan  kegiatan ekonomi bermula semula, tetapi negara-negara harus fleksibel dan cukup lincah untuk menerapkan kembali larangan kawalan penuh atau separa jika ada kebangkitan Covid- 19 yang mengancam kematian besar-besaran, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Lim, parlimen mesti bersidang untuk menangani secara khusus pandemik Covid-19 serta "krisis kesihatan awam dan ekonomi".

"Sebuah parlimen khas (sesi) mengenai pandemik Covid-19 harus menjadi strategi penting untuk keluar dan menghentikan sekatan PKP di Malaysia," tambahnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sambil menunjukkan bahawa beberapa persidangan dewan undangan negeri telah diadakan dan mempersoalkan mengapa Dewan Rakyat parlimen "dilemahkan dan dipinggirkan".

Lim juga bertanya adakah terdapat perbincangan dan rundingan yang luas dengan masyarakat sivil dan pelbagai sektor ekonomi mengenai strategi penamatan (PKP) yang terbaik untuk Malaysia.

"Janganlah kita menjadi seperti UK di mana sebuah akhbar terkemuka di UK melaporkan dalam berita utama 'Kerajaan UK tidak mempunyai rancangan keluar untuk perintah larang Covid-19'.

"Kami tidak mahu mengalami situasi seperti di UK di mana menteri-menterinya membuat rancangan keluar mereka sendiri sekiranya ketiadaan Perdana Menteri Boris Johnson yang pulih dari Covid-19," tambahnya.

Sebaliknya, Lim menunjukkan Korea Selatan sebagai contoh yang harus diikuti.

Korea Selatan mempunyai jumlah kes Covid-19 tertinggi di luar China pada akhir Februari, katanya, tetapi tanpa sebarang perintah larangan, mereka berjaya mengendalikan wabak tersebut dengan ujian secara besar-besaran dan mengenal pasti kontak rapat yang teliti sambil mengamalkan ketelusan penuh.

Hari ini, Korea Selatan mempunyai 10,613 kes dan 229 kematian.

Negara ini juga mengadakan pemilihan nasionalnya dua hari yang lalu dan lebih daripada 29 juta orang, sekitar 66.2 peratus pemilih, dan jumlah tertinggi sejak tahun 1992, keluar untuk mengundi.

"Korea Selatan telah menjadi model bagaimana masyarakat demokratik dapat menghadapi pandemik kerana tidak ada yang merasa bahawa mereka harus memilih antara menggunakan hak demokrasi dan melindungi kesihatan mereka," kata Lim.

Malaysia kini dalam fasa ketiga PKP yang dijangka berakhir pada 28 April.

Parlimen sepatutnya mengadakan persidangan pertama pada bulan Mac tetapi ditangguhkan setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) baharu dibentuk.

Sidang Dewan Rakyat dijangka bermula pada 18 Mei.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS