Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjaja harap ada alternatif jana pendapatan ketika Ramadan

Menjelang Ramadan yang dijangka tiba pada 23 April nanti, kebanyakan peniaga makanan dan minuman terus berharap ada alternatif untuk meneruskan perniagaan sambil mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung Covid-19.

Rata-rata mereka adalah golongan yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam sebelum ini.

Peniaga laksa dan teh ais Azri Hatea, 36, seperti kebanyakan peniaga sepertinya, sejak minggu lalu mengambil inisiatif sendiri mengiklankan produk jualan di media sosial dan membuat penghantaran di sekitar kawasan perumahannya.

Meskipun mengakui ada mendengar tentang e-bazar Ramadan di negeri Selangor, dia tidak jelas cara untuk menyertainya, mahupun sumber untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Belum dapat maklumat lagi (tentang alternatif itu). Saya rasa mereka (kerajaan negeri) mesti akan selesaikan sebelum mula puasa. Kena mula sebelum itulah.

“Menteri Besar (Selangor) bagitahu pun (terlalu) awal juga, tapi (mungkin) mereka tengah atur bagaimana nak buat, kita tengah tunggu itu sajalah.

“Harap kena selesai cepatlah. Kalau tidak, kami (peniaga) terpaksa buat penghantaran yang macam sekarang sajalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Azri berniaga laksa sekitar Seksyen 13 Shah Alam, setiap tahun menyewa tapak bazar Ramadan di Seksyen 13 dan Seksyen 18.

Namun ekoran PKP, dia sedang menunggu wang bayaran sewaan tapaknya dipulangkan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK). 

Putus sumber pendapatan

Bagi peniaga kepak ayam bakar, Arnis Muktar, 42, dia meluahkan hasrat untuk menyertai inisiatif bazar dalam talian sekiranya ada.

Namun, seperti Azri, Arnis juga tidak tahu maklumat lanjut mengenai program kerajaan Selangor berkenaan.

Peniaga pasar malam itu berkata dia sebelum ini menyewa tapak bazar Ramadan setiap tahun sejak tahun 2005 sekitar Klang.

Katanya, dia berharap dapat menyertai inisiatif e-bazar Ramadan memandangkan dia tidak boleh berdaftar sendiri di aplikasi seperti Grabfood kerana hanya berniaga di pasar malam dan tidak mempunyai premis sendiri.

“Saya ada terbaca pasal e-bazar itu, cuma terus terang, kita tak tahu. Setakat macam itu sahaja. Tak tahu macam mana nak daftar, apa kriteria yang diinginkan? Belum tahu jalannya macam mana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum PKP dilaksanakan, Arnis berniaga kepak ayam bakar selama enam hari seminggu, di pasar-pasar malam, antaranya di Meru, Bandar Sultan Sulaiman, Teluk Pulai dan kawasan-kawasan lain sekitar Klang.

“Sekarang (sejak PKP), memang betul-betul tak ada (pendapatan) masuk. Bersyukurlah ada bantuan dari kerajaan tu,” kata ayah kepada lima orang anak itu lagi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 8 April lalu mengumumkan platform digital E-Bazar Ramadan Selangor Grab yang akan dilaksanakan di bawah Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) dan Hijrah dengan kerjasama syarikat e-hailing Grab.

Bagaimanapun, program itu yang direncana melibatkan 15 lokasi dapur berpusat di seluruh negeri Selangor dijangka hanya akan memberi manfaat kepada sebahagian kecil daripada 17,000 peniaga di Selangor yang kehilangan mata pencarian.

Berdasarkan semakan di laman web Grab, pihak Grab setakat ini hanya menerima permohonan yang dibuat oleh pihak majlis daerah dan orang ramai yang ingin ikut serta perlu menghubungi majlis daerah kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru petang tadi, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa tiada sebarang bentuk bazar Ramadan fizikal termasuk yang menggunakan khidmat e-hailing dibenarkan, inisiatif kerajaan negeri Selangor itu mungkin tidak dapat diteruskan.

Ismail dalam sidang medianya secara spesifik menyebut mengenai format e-bazar yang mirip dengan yang mahu dianjurkan oleh Selangor.

“Mengenai e-hailing, apa saja yang berbentuk bazar walaupun ada e-hailing (tak dibenarkan).

“Kalau kita wujudkan bazar misalnya, 50 bazar sekelompok, e-hailing datang untuk mengambil di bazar tersebut selepas melakukan pesanan, ia tak boleh dilakukan, sebab saya dah sebutkan tadi, bazar tak dibenarkan.

“Gerai-gerai seperti itu tak dibenarkan. Tetapi yang perniagaan e-hailing biasa, yang sekarang pun dah dilaksanakan dan hantar ke rumah, perkara itu diteruskan seperti biasa,” kata Ismail di Putrajaya, semalam.

Selain e-bazar, antara inisiatif lain oleh kerajaan negeri adalah membenarkan peniaga makanan berniaga di rumah pada bulan Ramadan ini, seperti diumumkan Perlis dua hari lalu.

Bagaimanapun, Ismail petang tadi turut mengumumkan bahawa mesyuarat kabinet turut memutuskan bahawa sebarang bentuk perniagaan termasuk gerai Ramadan dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil, juga adalah tidak dibenarkan sama sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS