Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga bazar di KL mahu duit sewa tapak dikembalikan

Kebanyakan peniaga yang saban tahun membuka gerai di bazar Ramadan terpaksa melupakannya tahun ini setelah kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan bazar beroperasi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa – menerusi siaran langsung akaun Facebook - turut menjelaskan bahawa duit deposit sewa tapak bazar Ramadan yang telah dibayar penjaja akan dibawa ke tahun depan.

“Selepas berunding dan mendengar pandangan semua wakil penjaja, kita semua bersepakat dan bersetuju untuk tidak diadakan bazar Ramadan tahun ini.

“Kita juga sepakat semua bayaran yang penjaja keluarkan tahun ini, termasuk deposit atau bayaran kepada persatuan yang menganjurkan bazar Ramadan, dibawa ke tahun depan. Jadi tahun depan mereka boleh berniaga tanpa keluarkan bayaran baru,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa peniaga bazar Ramadan sekitar Wilayah Persekutuan yang dihubungi Malaysiakini meluahkan rasa tidak setuju atas tindakan tersebut.

Menurut peniaga bazar Ramadan di Kuala Lumpur, Siti Sarah Reyes Abdullah, dia menjelaskan bahawa seeloknya wang tersebut dikembalikan terlebih dahulu.

Jelasnya, dia memerlukan wang tersebut untuk membayar beberapa keperluan.

“Saya perlu sangat duit itu, untuk bayar sewa rumah. Peti sejuk beku untuk saya simpan ayam yang sepatutnya berniaga di bazar juga sudah rosak.

“Jadi saya rasa lagi elok saya ambil duit itu, risau nanti kalau tahun depan tak jadi berniaga saya nak ambil kembali duit itu tidak boleh,” katanya.

Risau sukar dapatkan semula duit sewa

Siti Sarah, yang telah berniaga ayam kepak madu di beberapa bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur selama tujuh tahun juga menjelaskan bahawa dia telah membayar deposit anggaran RM2,000.

“Memang ada beberapa tempat yang selalu saya berniaga sekitar KL (Kuala Lumpur), jumlah tu hampir RM2,000.

“Saya bayar untuk bazar Bukit Bintang, kawasan Hospital KL, Persiaran Mewah dan juga di kawasan Pekeliling bas KL,” katanya lagi.

Senada dengan Siti Sarah, peniaga bazar di Sri Rampai Kuala Lumpur, Nur Izatul Hidayah Abdullah turut bersetuju supaya pihak pengurusan sewa tapak bazar untuk memulangkan wang tersebut.

“Betul saya setuju wang diberikan balik, saya pun memerlukan wang tersebut.

“Kita tak tahu tahun depan masih ada rezeki ke tidak untuk berniaga, takut nak mohon dapatkan duit itu balik susah pula,” katanya yang berniaga mee kawah di bazar Ramadan menerusi bisnes mertuanya selama 20 tahun.

Untuk rekod, kerajaan telah memulakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac dan kini sudah berlarutan sehingga fasa ketiga yang dijadual habis pada 28 April ini. Bulan Ramadan pula dijangka bermula 23 April.

Di bawah PKP, perkhidmatan dan perniagaan tidak penting tidak dibenarkan beroperasi, bagaimanapun hanya restoran masih boleh menyediakan makanan untuk dibawa pulang atau dengan menggunakan khidmat penghantaran.

Bagaimanapun, peniaga bazar di Kuala Lumpur Sofian Iswadi berbeza pandangan dan menyambut baik keputusan untuk tidak memulangkan wang tersebut.

Katanya, ia akan lebih memudahkan penjaja untuk berniaga pada tahun hadapan.

“Saya rasa elok juga (duit disimpan) tidak perlu tahun depan nak kena keluar modal untuk bayar sewa tapak,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan juga mengesahkan tindakan kementerian untuk membawa wang sewa tapak bazar terbabit ke tahun hadapan.

Tambahnya, buat masa ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak menetapkan sebarang kelonggaran sekiranya peniaga bazar mahu wang sewa tapak tersebut.

“Buat masa sekarang tiada (kelonggaran untuk penjaja yang mahu wang sewa tapak) tetapi kalau ada mereka boleh hubungi jabatan perlesenan DBKL,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS