Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahanan penjara Perlis tak kongsi dulang makanan

Pusat Koreksional Perlis (PKPs) menyediakan dulang makanan khas kepada mereka yang ditahan bagi mengelak risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19 dalam sel penjara.

Pengarahnya, Penolong Komisioner Penjara Hamid Taha, berkata banduan baharu tidak akan berkongsi dulang makanan kerana dikhuatiri akan menjangkiti banduan lain.

“Kira-kira 1000 unit dulang makanan baharu dibekalkan dari stor ibu pejabat Jabatan Penjara Malaysia untuk menampung keperluan jumlah tahanan dari semasa ke semasa,

“Banduan baharu dikehendaki menyimpan sendiri dulang makanan itu serta membersih dan menjaganya,” katanya kepada pemberita, di Arau, hari ini.

Hamid berkata setiap dulang makan itu ditanda bagi mengelak berlalu pertukaran.

Seramai 110 orang tahanan dibawa ke sini ditempatkan dalam satu bilik khas yang mampu memuatkan kira-kira 400 orang.

Beliau berkata kapasiti Pusat Koreksional Perlis adalah seramai 600 banduan tetapi jumlahnya telah mencecah kepada 1,422 orang.

“Di sini kami menerima banduan daripada Kubang Pasu, Langkawi dan seluruh Perlis. Sel besar yang mampu memuatkan 20 orang ke bawah kini telah mencecah 40 orang dan peningkatan jumlah banduan ini berlaku kerana kes dadah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya setakat ini dapat menguruskan pusat terbabit dengan terkawal namun jumlah banduan yang meningkat sejak 2017 itu dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti pengurusan dalaman.

"Setakat ini jumlah kakitangan di pusat koreksional ini adalah seramai 220 orang termasuk pegawai dan purata jumlah banduan masuk ke penjara adalah antara 30 dan 50 orang sehari,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS