Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH maklum perjumpaan saya dengan Muhyiddin - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengulangi bahawa tujuan perjumpaannya dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dua hari lalu adalah untuk membincangkan isu penularan pandemik Covid-19, sambil menegaskan bahawa tiada isu politik yang dibangkitkan.

Menurutnya, hal itu telah pun dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada tengah hari tadi, yang diwakili oleh beberapa pemimpin dari PKR, Amanah dan DAP.

“Tentunya saya mengambil kesempatan menjelaskan pertemuan saya dengan Tan Sri Muhyiddin, perdana menteri dua hari lalu.

“Malah amalan (tindakan) saya daripada awal, sebelum mesyuarat pun saya maklumkan kepada mereka (pimpinan), sesudah mesyuarat pun saya sudah pun menelefon dan memberikan maklumat.

“Dan kenyataan hari ini bersama tumpukan tujuan utama, Covid-19,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

https://www.facebook.com/16194831839/posts/10160423756231840/?d=n

Beliau menjelaskan bahawa tidak timbul soal pengkhianatan atau cubaan mewujudkan “pintu belakang” kerana baginya kepentingan rakyat dan keselamatan negara lebih penting dari hal politik.

“Soal kritikan, soal saya diiktiraf atau tak, tak perlu layan. Bukan nak buat pintu belakang atau khianat, tak ada.

“Tadi mesyuarat presiden saya jelaskan kerana kepentingan rakyat negara keselamatan mengatasi (segalanya) kabilah dan kelompok politik,” katanya.

Dua hari lalu, Anwar bertemu Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya yang dilaporkan berlangsung selama 45 minit.

Pada masa sama, dalam siaran langsung hari ini, ahli Parlimen Port Dickson berkata pertemuan tersebut turut membangkitkan keperluan mengadakan mesyuarat khas Parlimen.

“Isu politik, usul undi tak percaya kemungkinannya itu semua kita ketepikan dan tumpukan rangsangan ekonomi untuk rakyat, beberapa langkah keselamatan, PKP (perintah kawalan pergerakan) dan ini kita dapat bincang bersama oleh semua ahli parlimen supaya dapat konsensus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sidang parlimen khas tersebut, Anwar berkata ia penting untuk diawalkan supaya beberapa isu dapat dibaiki dengan kadar segera.

Bagaimanapun, sama ada sidang tersebut perlu dihadiri oleh semua ahli parlimen atau separuh daripadanya sahaja bagi mewakili parti masing-masing, ia boleh dibincangkan

“Hal ni patut disegerakan dan kerajaan mesti bersetuju. Kanada misalnya adakan mesyuarat yang lebih terbatas.

“Jangan kita adakan cari jalan (alasan) ada masalah Covid-19, tak boleh sidang, tak boleh bahas. (Mesti) ada penyelesaian munasabah.

“Adakah aturan mesyuarat yang katakan boleh guna video conferencing saja, dan lain-lain, hal ini patut dibincangkan.

“Sebab itu kita kata ada keperluan adakan sidang khas sekurang-kurangnya satu hari untuk bincangkan hal-hal yang mendesak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS