Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berparti, judi semasa PKP, 21 lelaki dipenjara, didenda

Akibat degil dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki fasa ketiga, 21 lelaki dihukum penjara dan didenda Mahkamah Majistret di George Town hari ini, kerana leka berparti dan berjudi.

Kesemua 13 lelaki yang berhibur itu, dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 atau jika gagal membayarnya, penjara sebulan manakala lapan lagi yang bermain judi, dihukum penjara empat hari dan denda RM1,500 atau penjara sebulan.

Majistret Lau Eric menjatuhkan hukuman tersebut selepas kesemua mereka, masing-masing telah membuat pengakuan bersalah.

Kesemua 13 lelaki berusia antara 21 hingga 25 tahun itu didakwa berhimpun bagi maksud sosial dengan berhibur yang melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Mansion One, Jalan Pangkor di George Town pada pukul 12.30 tengah malam, semalam.

Pertuduhan mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar, manakala 13 tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lapan lagi yang berusia antara 35 hingga 63 tahun itu dituduh bermain judi di dalam sebuah rumah perjudian terbuka, yang melanggar Peraturan 6(1) peraturan sama di sebuah blok di Taman Lip Sin, Lebuh Nipah Mukim 13, di sini pada pukul 5.30 petang, 12 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala peguam R Sankra Krishna mewakili lapan tertuduh itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS