mk-logo
Berita
Semakin banyak tangkapan, kenderaan di jalan raya semalam - menteri
Diterbitkan:  Apr 16, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih banyak kenderaan dilihat di jalan raya dan tangkapan ekoran pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Beliau yang merupakan menteri kanan kluster keselamatan itu berkata, polis berkata peningkatan kenderaan di jalan raya itu disebabkan ada perniagaan yang kembali beroperasi tanpa kebenaran.

"Ada syarikat yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting telah memulakan semula operasi.

Saya ingin ulang sekali lagi perniagaan atau sektor perkilangan hanya boleh mula operasi jika dapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)," katanya ketika sidang media hari ini.

Bagi fasa ketiga PKP yang bermula semalam, sejumlah perkhidmatan dan sektor yang tiada dalam senarai perkhidmatan penting diberi kebenaran oleh Miti untuk memulakan operasi.

Bagaimanapun syarikat yang ingin berbuat demikian perlu membuat permohonan dengan kementerian itu, dan tertakluk dengan syarat tertentu antaranya pengurangan tenaga kerja.

Ismail berkata lagi, polis menahan 1,315 individu atas kesalahan berkaitan PKP semalam, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kepada 11,017 orang.

Sejumlah 558,540 kenderaan diperiksa oleh pihak berkuasa semalam, katanya.

Jumlah itu menandakan terdapat banyak kenderaan di jalan raya dan pihak berkuasa bersikap tegas ketika memeriksa setiap kenderaan, katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan hanya perniagaan dan perkhidmatan yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan yang dibenarkan beroperasi tanpa dokumen atau surat sepatutnya sepanjang tempoh PKP.

Menjadikan industri perikanan sebagai contoh, beliau berkata mereka yang dibenarkan bekerja dalam tempoh itu ialah nelayan, pemborong, pemandu lori yang mengangkut ikan dan pekerja kilang memproses ikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS