Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan GLC: Ada menteri mungkin mendahului kabinet, kata Mustafa
Diterbitkan:  Apr 16, 2020 3:09 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Seorang veteran PAS berpendapat, isu lantikan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) mengetuai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi polemik kerana kenyataan dibuat seorang menteri yang mungkin bercanggah dengan etika sepatutnya.

Bekas setiausaha agung PAS, Mustafa Ali, berkata sepatutnya seseorang menteri tidak boleh mendahului kabinet atau ketuanya - seorang perdana menteri - semasa membuat kenyataan berkenaan dasar kerajaan.

Katanya kekeliruan kini timbul kerana ada kenyataan "seorang menteri" yang dilaporkan berkata, semua ahli parlimen akan ditugaskan mengetuai GLC jika mereka tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

"Saya tidak pasti sama ada menteri tersebut (memang) membuat kenyataan yang bermaksud sebegitu.

"Kalau ada, maka ia tidak menepati etika berkerajaan. Ini adalah policy statement (kenyataan berkaitan dasar), dan tidak ada sebuah kerajaan boleh membuat kenyataan dasar yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan melalui media sosial awal pagi tadi.

Mustafa yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri sains, teknologi dan alam sekitar dalam kerajaan BN awal 1970-an berkata, seseorang menteri tidak sepatutnya mendahului perdana menteri dan kabinet semasa membuat kenyataan.

Tanpa menyebut sebarang nama, Mustafa dipercayai membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bukan pertimbangan politik saja

Pada 12 April lalu, Malaysiakini memetik kenyataan Takiyuddin yang memberitahu semua anggota parlimen PN yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mengetuai agensi kerajaan dan GLC.

"(Ahli parlimen) PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.

"Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen," katanya. 

Setakat ini beberapa ahli parlimen PN memang sudah diumumkan mengetuai beberapa agensi serta GLC, manakala tokoh lain disebut-sebut akan dilantik dan masih menunggu pengesahan daripada kerajaan.

Mustafa berkata pada asasnya memang tiada undang-undang yang melarang atau mewajibkan seseorang ahli parlimen mengetuai GLC.

Katanya, keutamaan sekarang ialah menempatkan orang yang terbaik ke jawatan tersebut.

"Sesetengah MP (ahli parlimen) memang mempunyai latar belakang korporat dan profesional. MP yang seperti ini mampu dan layak untuk memegang GLC. Ia tidak sepatutnya dihalang daripada (mengetuai) GLC.

"Masalah yang berbangkit saya kira ialah, kerajaan jangan sewenang-wenangnya meletakkan seseorang MP memegang GLC tanpa mengambil kira latar belakang, pengalaman dan keupayaannya.

"(Jika) Kriteria yang digunakan semata-mata atas pertimbangan politik. Ini tidak wajar sama sekali dan mesti dielakkan oleh kerajaan PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS